SHAH ALAM 13 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri ini.

Diminta mengulas kenyataan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Kita sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat pengeluaran air terawat.

“Rasanya lebih elok di bulan Ramadhan ini kita jangan buat fitnah kerana hanya akan mengurangkan pahala sahaja,” sindir Abdul Khalid sewaktu sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bukit Jelutong Lebuhraya Guthrie pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang juga mengetuai jawatankuasa air bagi memantau operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turut menafikan perkara itu.

“Tidak ada arahan untuk tujuan itu, sama sekali tidak benar,” ujarnya ringkas.

Dua hari lalu, Mohd Zin mendakwa tindakan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengarahkan Abbas mengurangkan pengeluaran air terawat menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top