Taman Klang Jaya, 29 Januari 2011 - Sebagai salah satu cara untuk mendekatkan dengan rakyat, Dr Xavier Jayakumar dan kakitangan DUN Seri Andalas serta para sukaralewan telah mengadakan satu lagi program pemberian buah limau sempena Tahun Baru Cina. Jika pada 24 Januari yang lalu, program ini telah diadakan di Taman Sentosa, kali ini telah diadakan pula di pasar pagi Taman Klang Jaya.

Pasar pagi di Taman Klang Jaya, seperti setiap pagi Sabtu dipenuhi dengan pengunjung terutamanya berbangsa cina. Setelah memastikan bekalan buah limau dan suratkhabar Keadilan dalam bahasa cina dan tamil mencukupi, Dr Xavier Jayakumar bersama pasukannya tiba di pasar pagi tersebut. Apa yang menariknya, pengunjung lebih gembira menerima suratkhabar Keadilan yang diedarkan berbanding buah limau! Ini menunjukkan rakyat dahagakan informasi sebenar dari media alternatif.


Peluang untuk mengedarkan maklumat mengenai TAWAS dan MUES dalam bahasa cina juga tidak disiakan. Walaupun rakyat dari DUN Seri Andalas merupakan penerima tertinggi skim MUES (Skim Mesra Usia Emas) di negeri Selangor, namun masih lagi ramai yang tidak mendapat maklumat tentang skim TAWAS. Melalui skim ini, bayi yang lahir di negeri Selangor layak menerima RM1,500 apabila bayi tersebut mencapai umur 18 tahun kelak. Ibubapa atau penjaga perlu mendaftar dalam tempoh setahun selepas tarikh kelahiran.

Kakitangan DUN Seri Andalas dan para sukarelawan berusaha menterjemah maklumat yang dibawa ke bahasa cina dan tamil, oleh itu program ini bukan sahaja mengagihkan limau semata-mata tetapi dapat menyampaikan maklumat tentang kedua-dua skim TAWAS dan MUES Kerajaan Negeri Selangor.

Kehadiran ahli majlis yang berkhidmat dalam DUN Seri Andalas juga membawa banyak manfaat, rakyat berpeluang menyuarakan masalah yang dihadapi mereka bagi mendapatkan penyelesaian.

Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan para sukarelawan yang membantu pada program ini.  







0 comments:

top