PETALING JAYA 11 Jan - Sikap tidak bertanggungjawab pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin terserlah apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional bakal menokok RM83 bilion hutang baru melalui penjualan 29 bon.

Menurut Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim hutang baru kerajaan persekutuan bakal melonjak daripada paras RM362.39 bilion atau 53.7 peratus dari Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) kepada RM445.39 bilion. 

Sambil menyelar sikap hipokrit Najib menuduh Program 100 hari Pakatan Rakyat yang bakal dilaksanakan apabila menubuhkan kerajaan pusat yang baru kelak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti sebagai 'tidak bertanggungjawab' serta 'membankarpkan negara', Anwar berkata penambahan beban baru negara adalah malapetaka hebat yang menimpa Malaysia.

"Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.

Tabiat berhutang Umno-BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion," kata Anwar kepada pemberita pada sidang media mingguan Biro Penerangan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Tropicana pagi tadi.IMG_4600

Malah untuk merungkai permasalah ekonomi dan isu hutang negara Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN mencabar Najib untuk bersemuka dalam debar terbuka bagi membolehkan rakyat menentukan kedudukan
sebenar.

"Tuduhan beliau bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, Umno-BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

"Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini. Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika Umno-BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang - tetapi ia bukanlah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis akibat ketagihan Umno-BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong Umno-BN," tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau berhujah rakyat sedar serta maklum senarai panjang kes rasuah besar, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan yang membabitkan pemimpin Umno-BN dan kroni mereka yang diselindungkan daripada pengetahuan rakyat oleh media kawalan mereka.

"Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rayat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi Umno-BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.

"Contoh-contoh pembaziran Umno-BN sudah diketahui rakyat. Perdana Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada Apco. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan disini," kata beliau lagi. 

Bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Najib terhadap program berorientasikan rakyat, Anwar berkata Pakatan Rakyat hanya memerlukan RM19 bilion sahaja untuk melaksanakan kesemua 10 prpgram teras yang digarikan  di dalam Buku Jingga.

Jumlah tersebut bersamaan keseluruhan subsidi yang diberikan kepada empat syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) terbesar milik kroni.

"Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

"Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh Petronas untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi tol untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung kerajaan.

"Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat - lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan:

"Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

"Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

"Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

"Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.

IMG_4602"Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang. 

"Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah membuktikan ia mampu dilaksanakan. 

"Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa Umno-BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang Umno-BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat," kata Anwar yang memperincikan tindakan proaktif Pakatan Rakyat.

Sambil berkata beiau mahu debat tersebut diadakan seawal minggu depan, Anwar turut menyanggah perbandingan Malaysia dan Greece sekiranya program 100 hari Pakatan Rakyat dijalankan.

"Kita tidak mahu Najib berselindung disebalik monopoli media bagi memadamkan fakta yang dikemukakan oleh kita. Najin menyebut Greece - negara itu terjerumus dalam tahap kebankrapan dan kemuflisan kerana mempermainkan angka, menipu statistik bagi memberi gambaran ekonomi yang ampuh dan lunak walhal apa yang berlaku ialah kecurangan, rasuah dan bebanan hutang yang cuba dipadamkan.
"Kecenderungan yang sama dilakukan oleh Umno-BN di mana kenyataan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat tidak dihebahkan bagi menggambarkan imej lunak kepada Umno-BN. Jadi bagi meleraikan permasalahan ini saya cadangkan demi kepentingan rakyat dan negara serta memandangkan pendekatan penyelesaian berbeza antara Pakatan Rakyat dan Umno-BN  saya cadangkan debat terbuka mengenai isu ini supaya angka sebenar dapat didedahkan kepada orang awam

"Biar rakyat buat keputusan pilihan mereka secara objektif berdasarkan kepada fakta dan bukannya fitnah dan cubaan menyelewengkan angka.

"Dalam isu subsidi Pakatan Rakyat berjanji untuk menyenak semula sistem sediada kerana tidak ada alasan langsung untuk melindungi kroni apabila jumlah sebenar berdasarkan keperluan harga dan subsidi hanya 40 sen daripada setiap liter dengan berjumlah RM4 bilion sahaja tetapi tidak mampu diberikan oleh kerajaan kerana terikat dengan syarikat kroni yang kaya," jelas Anwar lagi.

Beliau berkata Najib sewajarnya menerima pelawaan beliau memandangkan Perdana Menteri yang memberi pandangan negatif terhadap program 100 Pakatan Rakyat.

"Saya bersedia kalau boleh minggu depan. Perdana Memteri yang memberi ulasan, menyerang serta memperolokkan angka dan data kita, menuduh pendekatan kita tidak bertanggungjawab walhal kita kemuka angka yang cukup kukuh, Jadi beliau patut tampil untuk memberi ruang kita mempertahan hujah kita pula

"Kalau hendak wakilkan Rais Yatim saya akan wakilkan Ketua Penerangan kita (Dr Muhammad Nur Manuty," kata Anwar sambil tersenyum.

Sementara itu Dr Nur Manuty berkata artikel akhbar Mingguan Malaysia yang menuduh Pakatan Rakyat mahu memansuhkan sistem raja berperlembagaan hanyalah usaha bagi memgaburi mata rakyat.

"Kita melihat tulisan editor akhbar tersebut adalah usaha yang tidak putus untuk mengaburi rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu. Isu ini sengaja direka dan disensasikan terutamanya oleh Berita Harian dan Utusan Malaysia untuk meraih sokongan ketika Umno kehilangan modal.

"Mereka sedang tekan butang panik untuk mendapatkan modal politik dan mengaburi mata rakyat. Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang baru-baru ini dan juga dalam Buku Jingga ditekankan dasar dan ketetapan Pakatan Rakyat yang akan teruskan mendaulatkan segala peruntukan dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, institusi raja, kedudukan istimewa orang Melayu serta mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangasaan.

"Perkara ini sepatutnya tidak disensasi dalam keadaan rakyat semakin menaruh keyakinan kepada Pakatan Rakyat terutama selepas konvensyen," kata beliau.



Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top