PKR Sokong Penuh Kembalikan Kepada Sultan dan MB

PETALING JAYA, 4 Jan: PKR menyokong penuh langkah kerajaan negeri Selangor yang mahu mengembalikan kuasa raja dan menteri besar yang dirampas Umno pada tahun 1993 untuk melantik tiga pegawai kanan kerajaan negeri.

Ketua Penerangannya, Dr. Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataannya berkata,  pihaknya yakin bahawa usaha mengembalikan semula kuasa perlantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan dan Menteri Besar adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi Raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan, kerajaan negeri telah berbincang dengan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chan Khim agar satu sidang Dun diadakan segera untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai kanan kerajaan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Khalid memaklum, baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak perlantikan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara terhadap Datuk Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri kerana kuasa itu telah diambil dari baginda melalui krisis Perlembagaan pada tahun 1993.

Tiga pegawai kanan itu adalah Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang.

Begitupun, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakamkan kesyukuran kepada Ilahi dan menjunjung kasih setingginya kepada Sultan Selangor yang telah memberikan perkenan menyerahkan kembali urusan perlantikan SUK kepada kebijaksanaan Menteri Besar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Baginda memberikan perkenan ini selepas menyatakan pandangan bahawa Baginda tidak lagi mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana kuasa tersebut ditarik daripada baginda oleh Umno ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993,” kata  Dr Muhammad Nur.

PKR juga, tegasnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada tindakan pihak Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim Khalid yang akan memanggil sidang tergempar Dun yang bertujuan untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Beliau berkeyakinan bahawa usaha mengembalikan semula kuasa perlantikan tiga pegawai eksekutif di atas kepada Sultan dan Menteri Besar adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi Raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, jelas beliau kuasa perlantikan para pegawai yang dinyatakan di atas telahpun dihapuskan oleh Umno di dalam pindaan perlembagaan yang dilakukan secara paksa pada tahun 1983 dan 1993 meskipun telah ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada ketika tersebut.

“Sesungguhnya, kemelut yang baru sahaja dilalui adalah gambaran jelas kegelojohan pihak Umno  dan para konconya untuk menggugat kedudukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan percubaan mengulangi semula tragedi rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2008 yang lalu,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Krisis itu juga, katanya membuktikan bahawa sesungguhnya, demi meraih kuasa politik Umno bersedia untuk melakukan apa sahaja meskipun dengan mengorbankan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

“Adalah jelas kepada kita bahawa Umno kini sedang di dalam keadaan terhimpit dan menyedari hakikat bahawa mereka semakin hilang kepercayaan dari rakyat Malaysia seluruhnya,” ujarnya.

Sesungguhnya, kata beliau Umno sudah lama hilang keyakinan kepada amalan dan proses demokrasi yang sebenarnya.

Lantaran itu, ujarnya lagi demi mengekalkan kuasa mereka sedia mempergunakan apa jua slogan ‘1Malaysia’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Kedaulatan Raja-Raja’ dan sebagainya.

Menurutnya, malah lebih buruk, Umno bersedia mencemar dan memperalatkan apa jua institusi negara demi mengekalkan kuasa dan melindungi amalan rasuah dan pelbagai pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakyat dan negara selama ini.

“Sesungguhnya, Keadilan ingin menjelaskan kembali komitmen kita untuk terus menegakkan keadilan berasaskan keluhuran perlembagaaan dan undang-undang negara yang ada dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia umumnya,” ujarnya.

0 comments:

top