SHAH ALAM, 19 SEPT : Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula industri air Selangor dan mengambilalih operasi air terawat dalam tempoh tujuh hari.

Proses ini termasuk memulakan rundingan dengan syarikat konsensi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membeli balik saham di dalam syarikat tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Pusat diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukan bantahan terhadap proses itu.

Sekiranya Kerajaan Pusat tidak membuat apa-apa bantahan, Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat menerusi surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Sept.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi

Walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

“Saya juga menyatakan keengganan Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top