SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 50,000 pengundi baru di Selangor masih belum dikenalpasti identiti mereka dan semakan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seramai 390,000 pengundi baru di Selangor sudah dikenalpasti melalui semakan yang dilakukan melalui Program Bersih Selangorku yang dilancarkan April lalu.

“Buat masa ini saya katakan yang kita telah pergi mencari pengundi baru ini dan kita telah berjumpa hampir 80 peratus daripada mereka.

“Tapi 20 peratus lagi melibatkan hampir 50,000 pengundi baru yang masih belum kita kenalpasti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.


Abdul Khalid berkata, 50,000 merupakan suatu jumlah yang besar dan beberapa penyelidikan dan semakan sedang dilakukan bagi mengenalpasti mereka.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melancarkan Program Bersih Selangorku bagi membuat semakan selepas negeri itu mencatatkan peningkatan mendadak jumlah pengundi baru sejak 2008.

Mengulas mengenai isu pilihanraya berasingan, Abdul Khalid menjelaskan, pendirian Kerajaan Negeri sama dengan persetujuan Pakatan Rakyat(PR) untuk mengadakan pilihanraya berasingan di Selangor.

Namun demikian, menurutnya, Kerajaan Pusat masih tidak mengumumkan tarikh Pilihanraya Umum ke-13 dan Selangor masih merancang strategi mengenai keputusan pilihanraya berasingan itu.

“Kita tidak tahu pilihanraya Parlimen bila, masih lagi spekulasi oleh Kerajaan Pusat.

“Ada baiknya pilihanraya berasingan dan ada yang tidak baiknya.

“Perbincangan yang dilakukan pimpinan PR berdasarkan spekulasi dan kita masih memikirkan strategi sesuai,” jelasnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top