SHAH ALAM 18 SEPT: Isu tuntutan saman daripada 711 penghuni pangsapuri terhadap Kerajaan Negeri berhubung subsidi air percuma merupakan peluang terbaik untuk beri penjelasan secara terbuka di mahkamah kelak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini kerana subsidi pemberian air percuma hanya diberikan kepada pangsapuri yang mempunyai meter individu sahaja.

Katanya, sejak 2008 keputusan pemberian air percuma hanya dilakukan sekiranya penghuni mengikut garis panduan syarat yang ditetapkan.

“Tuntutan saman merupakan hak individu, mana-mana individu yang mahu menikmati subsidi air itu hendaklah menukar kepada meter individu.

“Meter individu adalah sangat penting dalam pemberian subsidi ini dan senarainya ada di tangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Begitu juga senarai penghuni yang sudah menukar meter dan sudah menikmati pemberian ini,” katanya.


Abdul Khalid ditemui pemberita sejurus selesai menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mereka bentuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru di sini.

Beliau juga memberitahu selepas 2006 Kerajaan Negeri tidak lagi menggunakan meter pukal bagi penempatan baru yang dibina.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai perjumpaanya dengan penduduk, Abdul Khalid berkata perjumpaan itu hanya akan dilakukan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri (LPHS).

“Bukan itu sahaja mereka boleh berjumpa dengan Adun, Ahli Parlimen, Exco sekiranya mahu berjumpa untuk berbincang mengenai isu ini atau isu lain,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top