Majlis Rumah Terbuka DUN Seri Andalas Meriah


Taman Seri Andalas, Klang, 8 September 2012 - Pejabat Khidmat DUN Seri Andalas telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka DUN Seri Andalas pada hari ini.

Majlis telah diadakan di kawasan lapang tapak Rakan Muda bersebelahan stesyen minyak ESSO di Taman Seri Andalas dari jam 12 tengahari hingga jam 4 petang.

Orang ramai dari berbagai-bagai kaum dan peringkat umur telah berpusu-pusu hadir seawal jam 11.30 pagi.

Antara wakil rakyat yang turut hadir adalah YB Azmin Ali, YB Dr Siti Mariah Mahmud, YB Shuhaimi Shafiei, YB Yahya Shaari, YB Dr Rani, para pemimpin PKR, PAS dan DAP, Ahli-ahli Majlis PBT, Ketua-ketua kampung dan ketua-ketua komuniti setempat.

Selain dijamu pelbagai jenis juadah makanan dan minuman, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan artis serta telatah DJ Mansor yang menjadi pengacara majlis pada hari ini.


Pada majlis ini YB Dr Xavier Jayakumar telah menyampaikan sumbangan kepada surau-surau dan masjid-masjid di sekitar DUN Seri Andalas dan meraikan anak-anak yatim yang hadir.

Seperti kebiasaan majlis hari raya, duit raya telah diberikan kepada kanak-kanak dan warga emas yang hadir.

Selepas beratur panjang mendapatkan duit raya daripada YB Dr Xavier Jayakumar, kanak-kanak yang hadir beratur pula untuk mendapatkan belon daripada Bobo, badut yang memeriahkan suasana raya kali ini.

Selain beratur mendapatkan juadah makanan dan minuman, orang ramai turut beratur mendapatkan risalah-risalah program Kerajaan Negeri di kaunter yang dibuka.

Sebelum majlis berakhir, goodie bag telah diagihkan kepada orang ramai yang hadir dan sumbangan hamper telah diberikan.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Andalas dan mengucapkan terima kasih kepada para petugas dan sukarelawan yang menjayakan majlis ini.

Klik disini untuk lihat galeri gambar.

0 comments:

top