SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Negeri tidak menghalang sekiranya pengguna air di pangsapuri di negeri ini mahu memfailkan saman berhubung kegagalan menerima subsidi air percuma yang diberikan kepada semua rakyat.

Mengulas lanjut isu tuntutan saman yang difailkan oleh 711 pengguna air, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia merupakan satu kes percubaan yang akan memberikan pandangan mengenai kebajikan rakyat.

Katanya, dengan saman ini membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui masih terdapat rakyat yang tidak menikmati air percuma kerana tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya seseorang tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan ia boleh dibenarkan untuk menerima peruntukkan? itu pihak mahkamah boleh berikan jawapan.

“Penukaran meter pukal kepada meter individu tidak memerlukan kos yang tinggi, ia cuma memerlukan persetujuan daripada penghuni dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) setuju untuk membenarkan penukaran dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Sebelum ini, seramai 711 pengguna air memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Abdul Khalid, atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Semalam Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

“Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top