Pakatan Tawar Pekerjaan Untuk Warga Sarawak, Sabah

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor menyatakan kesediaan mereka untuk menerima puluhan ribu pencari kerja dari Sabah dan Sarawak yang terjejas dengan syarat baru dikenakan untuk bekerja di Singapura.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor menyatakan demikian dalam satu sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Lim berkata Pulau Pinang sedia mempertuntukkan sebanyak 30,000 pekerjaan kepada penduduk negeri itu sebagai tanda persahabatan sempena sambutan Hari Malaysia.

“Saya bagi pihak DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang ingin membuat tawaran persahabatan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana baru-baru ini, negara Singapura telah menghalang rakyat Sabah dan Sarawak untuk bekerja di sana.”

“Dengan Singapura, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Tapi sebagai sebuah kerajaaan negeri, kerajaan Pulau Pinang boleh membuat tawaran kerja kepada mereka untuk datang ke Pulau Pinang,” tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Katanya, beliau menerima banyak laporan bahawa rakyat negeri itu bimbang akan kehilangan pekerjaan ekoran syarat baru Singapura yang menaikkan had umur untuk bekerja di Singapura dari 18 tahun kepada 35 tahun.

Katanya, pemimpin DAP Sabah, termasuk pengerusinya Jimmy Wong ditugaskan untuk menguruskan pencari kerja di negeri ini yang berminat dengan tawaran tersebut.

“Kita tidak mahu mereka terus menganggur dan kami merasa amat simpati. Kami akan menjadikan ini sebagai realiti dan kami menyambut mereka dengan tangan terbuka," katanya lagi.

Sementara itu, Khalid pula berkata, syarat baru kepada bumiputra Sabah dan Sarawak yang dikenakan Singapura itu bagaimanapun akan memberi kebaikan kepada negeri Selangor.

“Pada minggu depan, kami akan adakan program 'Jom Kerja'  di setiap daerah di negeri Selangor dimana terdapat kira-kira 25,000 kekosongan jawatan.

"Kerajaan Selangor akan mengadakan rumah terbuka untuk semua belia Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama dianggap sebagai rakyat negeri Selangor dalam mencari pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, program latihan juga akan dijalankan bagi meningkatkan prestasi pekerjaan warga berkenaan.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top