Selangor Cabar Chin Debat 'Krisis Air'

Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar mencabar Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin Fah Kui mengadakan debat terbuka mengenai isu berlarutan bekalan air di Selangor.

"Kami mencabar Chin untuk debat terbuka dengan kerajaan Selangor supaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor, dapat membuat penghakiman mereka sendiri berhubung isu air di Selangor," katanya ketika menggulung halehwal jawatankuasanya di sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Kerajaan negeri Selangor sedang 'berperang' dengan kerajaan pusat pimpinan BN yang merancang untuk mengambil alih pengurusan air di negeri itu, tetapi rundingan mengenainya sejak dua tahun lalu telah menemui jalan buntu.

Putrajaya telah menggesa kerajaan negeri supaya meluluskan projek loji rawatan air Langat 2 untuk membolehkan pemindahan air dari Pahang, jika tidak, Selangor akan berdepan dengan masalah kekurangan air yang serius pada tahun 2014.

Tetapi unjuran itu ditolak oleh kerajaan negeri, yang berhujah bahawa  Selangor mempunyai bekalan air yang cukup.

Xavier mengkritik projek RM8 bilion untuk memindahkan air dari Pahang, yang didakwanya bertujuan untuk memperkayakan kroni BN kerana menurutnya, ia melibatkan jumlah sogokan dan komisen yang besar.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang diperlukan adalah untuk menaik taraf infrastruktur loji rawatan air semasa bagi meningkatkan rizab air di Selangor.

Xavier juga membidas SYABAS - pengendali perkhidmatan air di negeri itu - yang didakwanya kerap mengganggu bekalan air di bawah alasan penyelenggaraan loji rawatan air.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top