KUALA LUMPUR, 10 Mac - PKR menegaskan jaminan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa sistem penjagaan kesihatan 1Care belum dimuktamadkan "tiada makna" sekiranya maklumat terkini kajian tidak didedahkan kepada umum.
Menurut Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pihaknya tidak mahu melihat alasan diberikan Liow itu sekadar gimik semata-mata demi menjaga kebimbangan umum.

"Apa yang membimbangkan KEADILAN ialah sama ada jaminan Liow ini bermakna apabila kita melihat isu terbaru kes Lynas," beliau berkata merujuk kepada ketidaksetujuan di kalangan pemimpin Kabinet.

Selepas kerajaan memberi jaminan bahawa sisa radioaktif dari kilang nadir bumi Lynas adalah selamat untuk disimpan di Gebeng, Pahang, Liow mengumumkan bahawa sisa tersebut mesti dihantar ke Australia.

Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa sisa tersebut akan disimpan di lokasi jauh daripada penempatan.

Terbaru, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata Lynas telah berjanji mengambil sisa tersebut keluar dari negara jika tidak berjaya mengenalpasti tapak pelupusan yang sesuai.

"Liow mesti memahami kebimbangan rakyat memandangkan kepentingan sektor kesihatan dan rekod buruk Barisan Nasional (BN) di dalam memperkenalkan reformasi secara telus dan berwibawa.

"Kami berharap Liow dapat menjelaskan proses perundingan berada pada tahap mana. Kerajaan mestilah mendengar input rakyat, bukan menjadikan proses perundingan ini sebagai satu gimik semata-mata sebagaimana Model Ekonomi Baru yang diwarwarkan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Liow berkata  kerajaan belum memutuskan sebarang bentuk sistem penjagaan kesihatan kerana ia masih menilai pelbagai model termasuk mengkaji kemungkinan mengguna pakai sistem 1Care.

Beliau berkata kerajaan masih melihat dan mengkaji pelbagai model termasuk model insurans kesihatan, model insurans kesihatan sosial, model percukaian dan lain-lain model hibrid termasuk menerusi penyertaan kerajaan-majikan-pekerja.

"Sekiranya didapati tidak sesuai, ia tidak akan dilaksanakan. Oleh sebab itu kita telah membentuk kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dan memanggil pelbagai pihak untuk memastikan kesesuaian model berkenaan. Sesungguhnya ia masih di peringkat permulaan," katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan boleh mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan telus dengan meningkatkan peruntukan untuk sektor itu dan tanpa melaksanakan sistem 1Care.

Beliau menambah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan juga akan memastikan hak rakyat dapat dijaga.

"Falsafah kami bahawa kesihatan merupakan hak asasi bukan bermakna kami menentang sektor swasta, yang telah memainkan peranan penting di dalam menyumbang kepada kesihatan negara hari ini.

"Namun kami mahukan jurang yang wujud hari ini dikurangkan agar kemudahan kesihatan bermutu dapat dirasai semua rakyat Malaysia," katanya.


Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

top