MB: Air Bekas Lombong Yang Dirawat Selamat di Guna

SHAH ALAM 22 MAC : Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa sumber alternatif bekalan air daripada air lombong yang dirawat adalah selamat dan menepati piawaian air mentah oleh Kementerian kesihatan Malaysia.

Jaminan terhadap cadangan sumber air alternatif itu dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menjawab pertanyaan daripada ADUN Tanjung Sepat, Datuk Abdul Karim Mansor berhubung cadangan Kerajaan Negeri menjadikan air lombong sebagai sumber alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan air.

Sebelum ini, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengadakan pensampelan kualiti air terhadap 30 buah kolam bekas lombong pada tahun 2005.

Hasil kajian itu, sekurang-kurangnya 17 buah lombong didapati sesuai dijadikan sumber air alternatif.

“Pada tahun 2011, pensampelan dilakukan sekali lagi terhadap kesemua lombong yang dikenalpasti bagi kajian kesesuaian sumber air lombong untuk tujuan semakan kualiti dan juga pewartaan.

“Daripada analisis kualiti air kolam bekas lombongh yang hanya perlu melalui proses rawatan secara konvensional yang mana hanya memerlukan pengedosan minima bagi tawas (alum) dan di klorin bagi pembasmian kuman,”jelas Abdul Khalid.

Khalid menambah, kos rawatan menerusi kaedah tersebut adalah jauh lebih murah berbanding kos rawatan air sungai kerana kadar kekeruhannya yang rendah dan stabil berbanding air sungai yang memerlukan banyak alum bagi proses penggumpulan mendakan.

Kerajaan negeri mengambil pendirian projek Langat 2 yang akan menelan belanja RM8.6 bilion sebagai terlalu mahal dan tidak perlu disegerakan kerana bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.

Sumber: Selangorku.com

0 comments:

top