KENYATAAN AKHBAR
31 MAC 2012     
 
BANJIR DI KLANG: KERAJAAN NEGERI BERI BANTUAN KEWANGAN DAN SOKONGAN BUKAN PAMPASAN 

Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 setiap setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir kilat di sekitar daerah Klang yang berlaku semalam (Jumaat). 

Kerajaan Negeri akan menimbangkan untuk memberi bantuan lebih dari RM300 bergantung kepada kesusahan yang mereka alami. 

Wakil rakyat di kawasan terlibat menubuhkan bilik gerakan untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan seperti makanan, minuman serta keperluan lain. Bilik gerakan ini juga mendaftarkan semua mangsa bagi merekodkan jenis kerosakan dan kerugian yang ditanggung mangsa agar tindakan susulan diambil seperti bantuan sewajarnya.   

Sebagai negeri yang mementingkan kebajikan rakyat,  Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk meringankan kesusahan yang ditanggung mangsa-mangsa banjir kilat ini tetapi bantuan yang akan diberikan mestilah realistik dan mengikut kemampuan.   

Bagaimanapun, dana ini adalah sekadar bantuan bagi meringankan beban mangsa dan bukan pampasan atas kehilangan atau kerugian yang mereka alami akibat banjir kilat yang teruk itu. 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mangsa banjir atas kesabaran mereka dan  kerjasama mereka kepada pihak berkuasa negeri dalam memastikan proses membekalkan bantuan berjalan lancar," kata Menteri Besar. 

Menteri Besar juga telah mengarahkan Pegawai Daerah Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  supaya menyediakan laporan lengkap kejadian ini termasuk punca dan cara penyelesaiannya. Laporan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Khamis ini. 

Masalah banjir kilat di Klang telah berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu tanpa ada sebarang usaha agresif untuk mengatasi bencana alam ini dalam tempoh itu. Adalah tidak adil menuduh kerajaan negeri sekarang tidak menjaga kebajikan rakyat dan gagal memastikan banjir kilat tidak berulang sedangkan kerajaan negeri sebelum inipun gagal menangani masalah ini walaupun lebih 50 tahun memerintah.   

Kerajaan Negeri akan megkaji semula pelan pembangunan di Klang berdasarkan kejadian dataran banjir 50 tahun. Pelan itu akan dijadikan panduan di mana Kerajaan Negeri akan menasihatkan pihak berkenaan supaya tidak membangunkan sesebuah kawasan jika kawasan itu kemungkinan ditenggelami banjir.


DIKELUARKAN OLEH
SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top