MBSA Catat Kes Denggi Tertinggi Di Selangor

SHAH ALAM, 16 NOV -  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah kes denggi yang paling tinggi di Selangor iaitu 2,295 setakat 28 Oktober lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja-pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencatat 1,733 kes denggi pada tempoh yang sama diikuti Majlis Perbandaran Klang (1,733 kes), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) (1,581 kes), Majlis Perbandaran Kajang (1,408 kes), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (1,116 kes) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) (708 kes).

Pada tahun lepas MBSA mendahului senarai kes denggi tertinggi iaitu 3,612 kes, Majlis Perbandaran Kajang (3,210 kes), Majlis Perbandaran Klang (2,466 kes), MPSJ (2,061 kes), MPAJ (1,709 kes), MBPJ (1,429 kes) dan MPS (466 kes).

Kerajaan negeri juga tidak memperuntukkan sebarang peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan pencegahan denggi, katanya menjawab soalan Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) pada persidangan itu.

Bagaimanapun, setiap PBT menerima peruntukan terus daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kawalan vektor untuk pembelian racun dan mesin pengasapan untuk program basmi denggi, katanya.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top