Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha keras membanteras segala bentuk penularan wabak dalam negeri ini yang meragut nyawa.

Ia berikutan Bandaraya Shah Alam mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi berbanding majlis-majlis daerah lain di seluruh Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sudah menjalankan beberapa kajian menyeluruh bagi mengatasi denggi ini.



Antaranya kajian Adult Aedes Mosquito Insecticide Resistance, Revision of Clinical Practice Guidelines (CPG) in Dengue Management in Adults dan Ovitrap Evaluation.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk menilai keberkesanan protokol rawatan pesakit denggi di hospital-hospital Malaysia dengan tujuan mengurangkan kadar kematian pesakit disebabkan oleh demam denggi.

“Kajian ini dijalankan secara berkala oleh Jabatan Kerajaan Negeri Selangor untuk menilai keberkesanan aktiviti fogging dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk”, katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh semasa sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Mengikut statistik kes denggi pada 2008 di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam merupakan tertinggi iaitu 3,612 kes diikuti dengan Majlis Perbandaran Kajang-3,210; Majlis Perbandaran Klang-2,466; Majlis Perbandaran Subang Jaya-2,061; Majlis Perbandaran Ampang Jaya-1,709; Majlis Bandaraya Petaling Jaya-1,429 dan Majlis Perbandaran Selayang- 708 kes.

Manakala sehingga 28 Oktober tahun ini, MBSA masih mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu 2,295; diikuti dengan MPSJ-1,733; MPK-1,733; MPAJ-1,581; MPKj-1,408; MBPJ-1,116 dan MPS-466 kes.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak memperuntukkan sebarang peruntukan kewangan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan pencegahan denggi.

Walau bagaimanapun, setiap PBT seluruh Selangor menerima peruntukan terus daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kawalan vektor untuk pembelian racun serta mesin fogging bagi program basmi denggi.

Sumber: TVSelangor.com

0 comments:

top