Pegawai exco, 10 lagi dibebas


6 Oktober 2009 - Seorang pegawai khas kepada exco kerajaan negeri Selangor adalah antara 11 individu yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang atas dua tuduhan antaranya terlibat dalam perhimpuan haram di Jalan Kebun, Klang, kira-kira sembilan tahun lalu.

Hakim Noradidah Ahmad menetapkan keputusan tersebut terhadap Abd. Razak Ismail, 47, pegawai khas kepada exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dan 10 individu lain setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes tersebut.

Individu lain ialah S Pospan Linggam, 64, Md. Ab. Nasir Md Isa, 52, Ahmad Faizal Chek, 32, Mat Dan Hassan, 67, Monashofian Zulkarnain Putra, 47, Aida Idris, 43, Muhamad Tarmizi Abd Rahman, 48, Sahri Bahari, 50, Mohamad Salim Laidin, 51, dan Saeden Wateh, 56.

Kesemua mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan 125 orang yang ditahan pada 4 Nov dan 5 Nov 2000 kerana menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Kebun, Klang.

Bagi pertuduhan pertama kesemua mereka didakwa terlibat dengan perhimpunan haram di antara Kilometer 21 dan 28.2 Lebuhraya Kesas, Klang, antara pukul 2 hingga 7 petang, 5 Nov 2000.

Mereka juga menghadapi tuduhan kedua iaitu mengingkari perintah bersurai yang dikeluarkan oleh pegawai polis, Supt Ruslan Abdullah dan Inspektor Ishak Mahmud, di tempat dan masa yang sama.

Sepanjang prosiding, seramai 19 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Yusmadi Yusoff.

Sumber: BERNAMA

0 comments:

top