Masalah perumahan bekas pekerja ladang tumbuk di Tanjung Sepat, Kuala Langat akan diselesaikan dengan segera, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Menurutnya, satu perjanjian baru akan dibuat semula dengan Jabatan Buruh, Pejabat Tanah dan syarikat pemaju iaitu Mega Holdings Sdn Bhd.

“Perjanjian itu tidak sah dan hari ini saya telah cadangkan untuk membuat perjanjian lain dan telah panggil semua pegawai untuk hantar perjanjian itu kepada pejabat buruh dan akan panggil Mega Holdings untuk datang dan buat semula perjanjian, dan kita akan beri pampasan kepada 29 orang yang kerja di ladang,” katanya.

Bercakap kepada Tvselangor di Shah Alam, malam tadi, Dr Xavier berkata, perjanjian itu dibuat semula kerana perjanjian terdahulu tidak sah dan jelas menunjukkan pekerja-pekerja ladang itu ditipu.

“Bila saya baca perjanjian itu, saya rasa mereka telah ditipu sebab saya nampak perjanjian ini hanya sewenang-wenangnya telah ditulis dan bukan diberikan kepada tiap-tiap individu tetapi telah ditandatangan sebagai kolektif agreement antara Mega Holdings dan NUPW iaitu ketua NUPW dengan setiausaha.

“Pada perjumpaan itu, mereka tak datang untuk jawab apa dah jadi kepada rumah itu semua,” katanya.

Menurut Dr Xavier, pada peringkat permulaan, tanah estet seluas 970 ekar itu telah dibeli oleh Mega Holdings Sdn Bhd, namun oleh kerana tidak dimajukan, maka tanah itu telah dijual dan sebelum pembahagian dilakukan, satu perjanjian telah dibuat.

Mengikut perjanjian itu, pekerja terbabit akan menerima sebidang tanah dan rumah di kawasan berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan.

“Sebelum mereka pecahkan ladang ini kepada orang ramai, mereka telah buat perjanjian untuk pekerja-pekerja ladang pada tahun 2005. Di mana perjanjian ini ditentukan bahawa mereka akan diberikan tanah dengan rumah di atas tanah, dan ada sekolah dan kuil yang akan diberikan.

“Tetapi bila mereka telah buat perjanjian ini, didalam perjanjian ini tidak dinyatakan bila rumah itu akan siap, apa saiz rumah, berapa besar lot tanah dan mereka tak dapat pampasan apa pun sampai sekarang,” katanya.

Terdahulu Dr Xavier berkata, beliau telah menyampaikan sumbangan hari deepavali kepada 300 penduduk miskin dan warga emas di Taman Batu Untung, Tanjung Sepat.

Sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang itu bertujuan meringankan beban penduduk yang kurang kemampuan sempena hari deepavali 17 Oktober ini.

Dr Xavier turut memberi bantuan sebanyak RM50,000 kepada persatuan kuil di kawasan itu.

“Kehadiran dengan 400 orang dalam program ini, dan melalui kerajaan saya telah memberi peruntukan dan bantuan kepada kuil sebanyak 50 ribu untuk adakan program-program bersama dengan penduduk di dalam kawasan melalui persatuan kuil itu,” jelas Dr Xavier.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top