SHAH ALAM 21 FEB : Syarikat pengurusan air di Selangor (Syabas) dinasihatkan agar menukar sistem penapisan di semua loji yang gagal berfungsi dengan baik daripada menggunakan wang guamannya menyaman pengkritiknya.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, Syabas dan Puncak Niaga (serta pemiliknya) nampak dangkal apabila sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti beliau.

Katanya beliau akan terus menyuarakan bantahan kepada mana-mana pihak difikirkan tidak meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan nombor satu dalam memastikan bekalan air yang baik kepada penduduk.

syabas“Jika ini bermakna saya akan berdepan dengan tindakan undang-undang, ini bukan kali pertama saya diheret ke mahkamah apabila bersuara di dalam isu berkepentingan awam.

“Cuma SYABAS dan Puncak Niaga sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti saya, sedangkan wang itu lebih baik digunakan untuk menukar sistem penapis di loji-lojinya supaya kegagalan yang menyebabkan penutupan dua LPA di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi dapat dielakkan di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

Syabas bertindak mengambil tindakan undang-undang ekoran kenyataan Rafizi pada Isnin lepas mengenai masalah bekalan air yang terganggu melibatkan lebih 100,000 buah rumah di sekitar Lembah Klang.

Mengulas tindakan saman itu, Rafizi berkata sudah menjadi kebiasaan Syabas atau Puncak Niaga mengambil pendekatan saman setiap kali ada kritikan mengenai prestasinya sebagai syarikat yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau mengambil pelbagai langkah untuk mengetengah rasa tidak puas hati penduduk yang sering menjadi mangsa gangguan bekalan air terutamanya di kawasan Pandan.

“Ini termasuklah, mengumpul tanda tangan bantahan, membawa kes kegagalan Syabas ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, membawa isu untuk dibahaskan di Parlimen.

“Termasuk juga mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan bekalan air kecemasan apabila berlaku gangguan dan berbincang dengan kakitangan Syabas sendiri untuk membantu penduduk,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rafizi, semua langkah-langkah ini baik yang bekerjasama atau berdepan dengan Syabas tidak sedikit pun membaiki prestasi bekalan air.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya terus mengkritik prestasi Syabas kerana kelemahan perancangan dan operasinya.

Dalam gangguan terbaru, kata Rafizi, beliau tidak dapat menerima alasan bahawa dua loji iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua loji itu.

Sedangkan sekiranya loji berkenaan dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi.

Melalui semakan awam, beliau mendapati bahawa kedua-dua loji hanya boleh memproses air sungai yang mempunyai kandungan ammonia maksima sebanyak 1.5 mg/liter.

Pada masa yang sama, sisa air rawatan daripada sistem kumbahan yang dilepaskan ke sungai-sungai oleh Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi kerana piawai yang dibenarkan adalah maksima 15 mg/liter atau 25 mg/liter (bergantung lokasi sungai).

Ini bermakna pengendali loji penapisan air seperti Puncak Niaga sememangnya tahu bahawa wujud kemungkinan kandungan ammonia di dalam air sungai yang tinggi terutama apabila musim panas kerana kekurangan hujan.

Dalam keadaan ramalan cuaca boleh dirujuk, pengendali LPA seperti Puncak Niaga sepatutnya boleh menduga tempoh tertentu yang mana kadar kandungan ammonia di dalam air sungai lebih tinggi yang boleh menjejaskan bekalan air.

“Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tidak ada tindakan proaktif sebelum ini di pihak Puncak Niaga (dan Syabas kerana kedua-duanya dikawal oleh kepentingan yang sama) untuk menaiktaraf LPA sedia ada agar semua LPA ini boleh mengambil air sungai berkandungan ammonia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter kerana perkara ini boleh dibuat,” tanya Rafizi.

Beliau difahamkan Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangkakan akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.

Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang.

“Bukankah jika tindakan ini diambil lebih awal, dengan mengambil kira ramalan cuaca, masalah gangguan bekalan air yang kini menyusahkan rakyat di seluruh Selangor dapat dielakkan?” soal Rafizi.

“Sebab itu saya mengkritik kelemahan perancangan Syabas dan Puncak Niaga yang tidak menduga lebih awal keperluan menggantikan sistem penapis kepada Sodium Aluminosilicate yang jika dibuat lebih awal dapat mengelakkan masalah bekalan air sekarang,” katanya.

Katanya, tindakan jangka pendek iaitu menggunakan kolam-kolam air berdekatan dengan hilir Sungai Langat untuk mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi perlulah dilaksanakan segera kerana kosnya hanyalah sekitar RM360,000 sebulan.

Sumber: SelangorKini

0 comments:

top