KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengecam bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang cuba menyalakan sentimen perkauman dalam berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Zainuddin dalam blognya semalam bahawa PRK kali ini adalah peluang masyarakat Cina memperbetulkan persepsi orang Melayu bahawa mereka tidak boleh dipercayai sebagai rakan politik.

Bekas menteri yang dikenali sebagai Zam juga berkata, “sesungguhnya tidak dapat dinafikan keyakinan ini telah dicarik-carikkan oleh Tsunami Cina”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kenyataan itu menunjukkan sikap perkauman yang ada pada pemerintah dan pihak yang berkaitan dengan mereka, yang menjadi punca sebenar polarisasi kaum yang semakin buruk di Malaysia.

“Zam boleh berharap agar majoriti pengundi yang memilih Pakatan pada PRU lalu berpihak kepada BN nanti, tapi apa logik beliau menjadikan PKR sebagai isu perkauman?

“Beliau perlu hormat hak demokrasi majoriti yang mengundi Pakatan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, dan paling penting 51 peratus atau 5,624,084 yang mengundi Pakatan seluruh negara, tanpa menjadikannya isu kaum,” tegasnya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai kebudak-budakan, berkata, tindakan Zam yang cuba menghidupkan persepsi ‘Tsunami Cina’ juga bercanggah dengan ‘Rekonsiliasi Nasional’ yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persepsi itu juga disangkal oleh banyak pihak dan tokoh, antaranya bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin yang menyatakan BN ditolak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Pendapat itu juga dikongsi Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr Shamsul Amri yang menjelaskan BN ditolak majoriti penduduk bandar dan golongan kelas pertengahan.

Sehubungan itu Kit Siang menggesa kerjasama antara BN dan Pakatan perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani isu kaum dan agama, selepas Kabinet Rabu lalu memberi maklum balas positif terhadap pelwaan Pakatan berhubung isu itu.

Sumber: HarakahDaily

0 comments:

top