SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Selangor mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk mengagihkan air berjadual kepada pengguna dengan SYABAS memaklumkan butiran terperinci pelan pengagihan berjadual.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beiau memandang serius gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan beberapa kawasan di negeri ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
Khalid berkata, pengagihan air berjadual ini akan diteruskan sehingga 31 Mac sekiranya bekalan air terputus dan tekanan air rendah masih berlaku.

“Kita juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas di samping memastikan lif-lif rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) berfungsi bagi memudahkan penduduk mengangkut air.

“Kita meminta Konsortium ABBAS Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk terlibat,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata, bagaimanapun, kemampuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pengguna pada waktu yang sama.

“Justeru, kita menasihatkan pengguna berjimat cermat dan mengelak sebarang pembaziran supaya lebih ramai pengguna
mendapat bantuan air kecemasan ini,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Gangguan bekalan air tidak berjadual telah berlaku di beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat yang melibatkan
kira-kira 27,000 rumah terputus bekalan air kerana LojiRawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup semenjak 28 Januari lalu disebabkan pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Dalam masa yang sama, beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang melibatkan kira-kira 75,000 rumah juga terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak kebelangan ini disebabkan pertambahan permintaan air yang mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan .

Kerajaan Selangor juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat memahami keadaan ini disebabkan cuaca panas dan kering yang di luar kawalan manusia.

“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPEL SYABAS di talian 1-800-88-5252 atau Pusat Khidmat Setempat SYABAS yang turut dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas,” kata beliau lagi.

Sumber: SelangorKini

0 comments:

top