KUALA LUMPUR 28 OGOS: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang merentasi Sungai Klang kini dalam proses terakhir membuat reka bentuk.

Menurutnya, pembentangan pelan reka bentuk akan dibentangkan esok selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak teknikal dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jangkaan kita tender akan dibuat selepas Oktober atau November dan selepas itu kita akan mulakan proses pembinaan,” katanya dipetik Media Selangorku.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya akan mengambil kira semua faktor termasuk kesesuaian dengan kawasan dan keadaan bentuk sungai.

“Kita juga akan mengambil kira tentang struktur jalan yang akan disambungkan dengan jambatan itu,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Khalid mengumumkan cadangan Kerajaan Negeri untuk menggunakan RM300 juta daripada rizab negeri bagi melaksanakan projek itu.

Jambatan sepanjang dua kilometer termasuk jalan penghubung dengan enam korong itu bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan jambatan sedia ada.

Sumber: Keadilan Daily

0 comments:

top