PKR hari ini mendesak kerajaan mendedahkan ketelusan meter elektrik baru yang mendapat banyak rungutan daripada pengguna sebagai punca kenaikan bil tinggi, di samping melancarkan petisyen untuk mendapatkan sokongan orang ramai bagi memberikan tekanan kepada kerajaan.

Dalam sidang media hari ini, Jawatankuasa Khas PKR mengenai bil elektrik tinggi mendesak kerajaan mewujudkan sebuah badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas rungutan disuarakan pengguna.

"Kami akan memberi tekanan kepada TNB dan Suruhanjaya Tenaga untuk bersetuju mewujudkan sebuah badan bebas bagi memeriksa meter elektrik.

"Kami mahu kebenaran didedahkan, adakah meter digital yang baru rosak atau tepat?" soal Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng yang juga salah seorang anggota dalam jawatankuasa khas PKR.

Chua juga meragui ketelusan pembelian meter baru berkenaan, kualiti dan proses pemberian kontrak bekalan meter diragui sama ada telus atau sebaliknya.

"Apakah piawaian yang dikenakan kepada syarikat ini yang membekalkan meter ini, apakah bentuk tendernya?

"Mengapa kebanyakan kontrak bekalan meter ini semua bumiputera? Saya harap kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga tampil beri penjelasan," katanya.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata kebanyakan aduan yang diterimanya adalah mengenai peningkatan kira-kira 15 peratus bil elektrik apabila menggunakan meter baru yang dipasang.

"Aduan yang kami terima kebanyakan mengenai peningkatan 15 peratus sebaik menggunakan meter baru.

"Adakah ini secara kebetulan? Ini menimbulkan banyak kecurigaan," kata Wong.

Dalam pada itu, PKR hari ini juga melancarkan satu laman petisyen (http://www.checkyourtnbmeter.com/) bagi mengumpulkan aduan orang ramai yang boleh dilawati diwww.checkyourtnbmeter.comndan mensasarkan kira-kira 10 ribu petisyen sebelum mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab.

Jawatankuasa khas tersebut ditubuhkan pada Julai lalu bagi menyiasat isu peningkatan mendadak bil elektrik yang berpunca dari program pemasangan meter elektrik baru jenis digital oleh TNB.

Jawatankuasa itu dianggotai Chua, Wong, Ahli Parlimen Wangsa Maju Datuk Dr Tan Kee Kwong dan Adun Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar.

Jawatankuasa berkenaan juga akan membawa lebih banyak isu dari semasa ke semasa, bagi memberi kefahaman kepada orang awam berkaitan penggunaan tenaga elektrik.- 16 Ogos, 2013. 

Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

top