KLANG 2 OGOS : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini perlu dilakukan bagi membendung kadar peningkatan kenderaan persendirian di jalan raya, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Menurut Abdul Khalid, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan ini akan diketuai oleh beliau dan dianggotai oleh barisan Exco negeri dan Unit Perancang Bandar dan Desa Selangor.

“Kerajaan Negeri akan cuba menubuhkan satu jawatankuasa mengenalpasti bagaimana pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.
 

“Dengan cara itu kita dapat mengurangkan jumlah penggunaan pengangkutan persendirian dan pemilikan kereta dan motosikal persendirian yang akan menyebabkan begitu banyak kenderaan di jalan raya dan terdapat keadaan yang penuh sesak dan mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Peringkat Negeri Selangor di Plaza Tol Sungai Rasau di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Khalid mengedarkan 30 buah topi keledar kepada penunggang motosikal serta memberikan ‘Goodies Bag’ kepada pemandu kenderaan di sepanjang plaza tol berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berpesan kepada semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati di sepanjang perjalanan pulang ke destinasi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top