KUALA LUMPUR 28 OGOS: Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin menegaskan, penstrukturan semula industri air di negeri itu penting untuk menyelesaikan gangguan bekalan penduduk Lembah Klang.

Katanya, perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu perlu disegera sebagai langkah melaksanakan penstrukturan air.

Zuraida“Segerakan perbincangan, proses penstrukturan semula industri pembekalan air satu-satunya jalan penyelesaiaan,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Ampang itu mengulas masalah bekalan air terputus di beberapa kawasan Wilayah Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang baru-baru ini.

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah itu terjadi berikutan berlakunya henti tugas tidak berjadual di Rumah Pam milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Wangsa Maju mengakibatkan gangguan kepada hampir 100,000 kediaman.

Minggu lalu, Kerajaan Selangor menjangkakan penstrukturan semula industri air di negeri itu selesai pada September ini.

Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat itu dilapor telah menyiapkan deraf berkenaan tanggungjawab dan bidang kuasa semua pihak termasuk Perbadanan Kementerian Kewangan (MOFIncorp), Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) dan syarikat-syarikat konsesi terlibat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).


Sumber: Keadilan Daily

0 comments:

top