Selangor Mahu Pujuk Ketua Pembangkang Ketuai PAC

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan berusaha memujuk Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsudin Lias supaya mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri. 

Speaker Selangor Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berjumpa dengan Shamsudin untuk menawarkan jawatan tersebut kepada beliau dalam masa terdekat. 

“Kita juga berharap di peringkat Persekutuan Parlimen akan membuat perkara sama dengan menawarkan jawatan Ketua PAC kepada Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim),” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong selama tiga penggal berturut-turut itu pada penggal lalu pernah diusul dengan jawatan itu namun ditolaknya kerana menganggap ia hanya bermotifkan politik, selain memikirkan tentang prinsip dan maruahnya sebagai wakil rakyat BN. 

Beliau dilantik menjadi Ketua Pembangkang baharu menggantikan Datuk Dr Satim Diman yang tercicir daripada senarai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. 

Pelantikan Shamsudin itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar semalam selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada 12 Adun BN lain. 

Sementara itu, Hannah berkata sidang DUN penggal baru kali ini akan memberi tumpuan kepada usaha meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (Selesa) yang tertangguh sejak tahun 2009. 

Jika diluluskan, enakmen Selesa mampu mengasingkan fungsi badan eksekutif (jabatan dan penjawat awam) daripada Dewan Negeri yang berkuasa sebagai sebuah badan perundangan. Menurut Hannah, RUU itu akan dibentangkan semula dan berkemungkinan akan diluluskan pada penggal kedua Sidang DUN pada hujung tahun ini iaitu semasa pembentangan Bajet 2014 Selangor. 

Katanya, untuk itu tanggungjawab akan diberi kepada Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim meneliti semula RUU terbabit dan membentangkannya dalam Dewan nanti. “Tiada masalah untuk luluskan RUU ini kerana kita mampu mendapat 2/3 undi mudah melalui persetujuan ahli dewan,” katanya.

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments:

top