56 Adun Selangor Selesai Angkat Sumpah

SHAH ALAM: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) selesai melakukan upacara rasmi angkat sumpah jawatan di Dewan Negeri di sini pagi tadi. Upacara dimulakan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh yang juga mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan, diikuti Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker. 

Kemudian diikuti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Adun Pelabuhan Klang, serta ahli dewan lain mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di hadapan Hannah. 

Abdul Khalid dalam ucapannya selepas selesai upacara mengucapkan tahniah kepada semua Adun dan berharap semua ahli dewan bersedia memikul amanah serta tanggungjawab kepada rakyat Selangor. Hannah turut menerima pujian daripada Abdul Khalid dan mantan Speaker Datuk Teng Chang Khim kerana menjadi wanita pertama dalam sejarah perundangan negara dilantik sebagai Speaker. 

Sementara itu, Hannah dalam ucapan ringkasnya berharap dapat menerima kerjasama penuh daripada kesemua Adun terutamanya daripada Menteri Besar dan Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias agar perjalanan Dewan dapat bergerak lebih lancar. 

Beliau turut berjanji untuk bersikap adil dengan memberikan peluang sama rata kepada Adun Pakatan Rakyat dan BN ruang masa yang secukupnya untuk mereka berbahas. 

Upacara pembukaan rasmi Sidang Dewan Negeri Selangor Penggal Pertama Sesi ke-13 akan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat 28 Jun depan dan persidangan pertama akan bermula pada 1 Julai depan. 

Pakatan Rakyat menguasai majoriti 44 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor; 15 daripadanya wakil PAS, DAP (15), PKR (14), manakala Umno-BN (12). 

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments:

top