PETALING JAYA, 3 Jun — Himpunan membantah keputusan Pilihan Raya 2013 akan diadakan pada 15 Jun depan di Kuala Lumpur, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi tujuan berkenaan.

“Kita juga telah memutuskan untuk menyokong inisiatif mengadakan himpunan aman di Kuala Lumpur pada petang 15 Jun akan datang.

“Pihak jawatankuasa sekretariat dan wakil-wakil NGO akan meneliti semua aspek dan akan berunding dengan Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan supaya perjalanannya itu terjamin aman dan terkawal,” kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sementara itu, mengulas berkenaan perbincangan mengenai penyertaan wakil pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) mengenai penambah baikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas Anwar tidak akan berlaku sehingga pengerusi dan timbalan pengerusi SPR meletakkan jawatan.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, penubuhan PSC itu adalah cubaan untuk mengalih perhatian penipuan yang dibangkitkan mereka, dan juga tindakan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tidak kompeten.

“Barang rompakan itu serah dulu, baru kita cerita,” kata Anwar merujuk kepada penipuan yang berlaku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

“SPR perlu letak jawatan, tidak kompeten, jangan cuba menipu lagi seperti kes selepas Bersih, buat PSC, kemudian menipu kami lagi,” tegasnya.

Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya 2013, PR telah menganjurkan beberapa diri Himpunan “Blackout 505” di seluruh negara menolak keputusan pilihan raya.

Penganjurnya, Datuk Johari Abdul turut berkata himpunan berkenaan akan terus dijalankan walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menitahkan agar setiap rakyat menerima keputusan pilihan raya.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top