SHAH ALAM, 15 JUN : Bagi meningkatkan keselamatan awam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan kerja-kerja meronda.

Meskipun ia adalah tanggungjawab pihak polis dan di luar bidang kuasa negeri, namun menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, langkah ini diyakini mampu mengatasi kelemahan sistem keselamatan sedia ada.

“Ini adalah sebagai langkah sementara iaitu menggunakan tenaga kerja PBT di peringkat Majlis.

“Kita mahu memastikan keselamatan orang ramai adalah lebih terjamin,” katanya ketika menerangkan Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) di sini semalam.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri akan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) terutama di kawasan tumpuan awam seperti bank.

Katanya, penambahan sistem CCTV itu adalah untuk memudahkan pihak berkuasa membuat pengecaman sekiranya berlaku jenayah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memasang sebanyak 414 buah CCTV di seluruh negeri. Namun kita dapati ia tidak mencukupi untuk memastikan sistem ini benar-benar berkesan.

“Kita akan cuba libatkan pihak swasta iaitu berjumpa dengan pihak bank untuk memasang kamera di luar bangunan bank untuk mengenalpasti masalah jenayah yang berlaku.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjadi PBT pertama yang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pihak bank dan peniaga swasta berhubung perkara ini,” jelasnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top