SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor semalam telah menyampaikan Surat Tawaran Bantuan “Blueprint” Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor 2010 kepada 85 peserta dari daerah Klang dan daerah Petaling.

85 peserta daripada jumlah 244 orang yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Penerima Bantuan Peralatan “Blueprint” bagi tahun ini telah menerima  bantuan peralatan perniagaan seperti mesin jahit lurus, mesin jahit tepi, motor roda tiga, mesin penguli tepung (mixer), mesin pembakar (oven) mesin ABC, stall bergerak, set kerusi meja dan paying serta pelbagai peralatan lain.

“Kami berharap bantuan peralatan perniagaan ini dapat membantu para peserta untuk meningkatkan hasil pengeluaran produk agar ianya menjadi produktif,” kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Y.B  Tuan Dr. Xavier Jayakumar ketika merasmikan Majlis Penyampaian Surat Tawaran
Bantuan “Blueprint” Pembasmian Kemiskinan di Hotel Quality semalam.

Menurut Xavier, semua peserta perlu mematuhi syarat-syarat bantuan yang telah ditetapkan seperti peralatan tidak boleh dijual, dipajak atau ditukarmilik.

“Peserta perlu menggunakan bantuan sepenuhnya dan perlu sedia maklum bahawa bantuan ini adalah bersifat ‘one-off’ dan pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan mula memantau penerima bantuan peralatan “Blueprint”, katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri mensasarkan sekurang-kurangya 50% penerima bantuan akan berjaya meningkatkan pendapatan keluarga. Ini dapat memisahkan mereka dari kepompong kemiskinan.

“Bantuan ini amat sesuai dengan Agenda Kerajaan Negeri dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor iaitu menjadikan negeri ini bebas dari kemiskinan dengan memberi bantuan kepada peserta-peserta yang yang telah memulakan perniagaan tetapi kekurangan sumber peralatan dalam usaha meningkatkan pendapatan
keluarga,” sambung Xavier.

Tahun ini, 244 peserta telah diluluskan untuk menerima bantuan peralatan melalui pecahan mengikut daerah iaitu Klang seramai 41 orang, Petaling seramai 44 orang, Kuala Selangor seramai 10 orang, Hulu Langat seramai 42 orang, Sepang seramai 28 orang, Hulu Selangor seramai 30 orang dan Kuala Langat seramai 49 orang.

Rakyat Selangor  yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 dan telah memulakan perusahaan layak memohon. Keutamaan akan diberikan kepada golongan OKU dan ibu tunggal. Sebarang pertanyaan dan borang boleh didapati di Setiausaha Kerajaan Negeri  Selangor (SUK), Pejabat Daerah, Pusat Khidmat Masyarat (DUN) dan Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK) yang berdekatan.


1 comments:

viverapink said...

tahniah kepada penerima dan Kerajaan Negeri

top