SHAH ALAM ,1 NOV : Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) digesa memperbaiki kerja-kerja membaiki parit yang menjadi punca banjir yang kerap berlaku di Kampung Johan Setia dan Kampung SC.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, beberapa aduan dan peringatan sudah dibuat kepada pihak JPP yang berada di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air masih belum mengadakan tindakan susulan kerja-kerja menutup sebahagian parit.

Ujarnya, ia menjadi punca aliran air tersekat daripada mengalir laju yang menyebabkan dua kali banjir berlaku dalam tempoh masa sebulan.

Shuhaimi yang dihubungi berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga disarankan agar memantau kerja-kerja pembersihan saliran air dengan baik dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Ada beberapa punca banjir yang sudah dikenalpasti iaitu di Sungai Aur dan saya ingin menegur pihak JPS walaupun beberapa aduan sudah dibuat ada beberapa tempat tidak diselenggara sehingga menyebabkan rumput terlalu tebal dibeberapa kawasan.

“Ia menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir yang menyebabkan air lambat untuk surut,” katanya.

Ujar Shuhaimi, hujan lebih dua jam semalam menyebabkan tujuh kawasan ditenggelami air iaitu di Kampung Johan Setia, Kampung SC, Kampung Bukit Naga, Kampung Bukit Puteri, Kampung Baru 1, Kampung Baru 2 dan Kampung Seri Gambut.

Katanya, tiada penduduk yang dipindahkan walaupun diarahkan berbuat demikian.

Beliau berkata, air surut dengan agak laju kerana pihak JPS Negeri dan JPS Klang mengepam air di Kampung Johan Setia untuk memasuki sungai terdekat dan ia membantu mempercepatkan air banjir surut.

“Semalam kita bekerja sehingga jam 3 pagi, dan mengorek kawasan yang menjadi punca banjir.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak terbabit dalam hal banjir ini dalam masa terdekat.

“Dan kini kita sedang menjalankan tinjauan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak JPS mengenalpasti punca banjir dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Sumber: selangorku

0 comments:

top