SHAH ALAM, 26 OKT: Pemberian 20 meter padu air percuma merupakan satu tanggungjawab menyalurkan hasil keuntungan kerajaan negeri kepada rakyat.

Pemberian ini yang dibuat melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) selaku pemegang amanah Kerajaan Negeri sesuai dengan dasar "Hasil Negeri Untuk Rakyat" menerusi program "Merakyatkan Ekonomi Selangor"(MES).

Dasar ini bermaksud semua aset atau harta yang dimiliki kerajaan negeri adalah milik rakyat Selangor.

"Kerajaan faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain kerana sebelum ini, keuntungan anak syarikat kerajaan negeri diserapkan terus dalam kerajaan negeri untuk program-program yang kita tidak tahu secara terperinci dan siapa yang mendapat manfaat," kata satu kenyataan dari Pejabat Menteri Besar.

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat sentiasa memastikan keuntungan anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada golongan sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan kekayaan negeri.

Oleh itu, pemberian air percuma ini menerusi KDEB akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada lebih kepada 1.2 juta rakyat negeri setiap tahun sejak dilancarkan pada Jun 2008.

"Sebagai contoh, Petronas sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyerahkan keuntungan berbilion ringgit yang diperolehi setiap tahun kepada Kerajaan Pusat tetapi kita tidak tahu bagaimana keuntungan ini dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.

"Ini berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat yang mana keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri diagihkan secara langsung kepada rakyat menerusi program-program MES termasuklah pemberian air percuma," kata kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Besar menyifatkan isu KDEB menanggung kerugian berikutan pemberian air percuma seperti yang berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara, sebagai suatu yang tidak sepatutnya timbul.

"Banyak juga sedang diperkatakan tentang pengurusan kewangan Negeri Selangor, dan pejabat ini ingin menyatakan perjalanan perbelanjaan telah dibuat dengan telus dan mengikut peraturan yang diperuntukan," tambahnya.

Justeru, Pejabat Menteri Besar mencabar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar untuk turut sama mendedahkan peruntukan yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta bagaimana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Selangor diagihkan kepada rakyat Selangor.

"Sekirannya mahu meneliti akaun Negeri Selangor, Kerajaan Negeri tidak keberatan.

"Jika Dato' Menteri (Noh Omar) berani, Kerajaan Negeri akan bersama beliau membuka akaun untuk dihalusi oleh SELCAT," katanya


Sumber: TVSNEWS

2 comments:

Chong Kong Hui said...

Good job. Spend for Rakyat.

Anonymous said...

Saya ucapkan SYABAS atas ketelusan pihak kerajaan negeri menjelaskan segala serangan fitnah dan ejekan pihak pembangkang. Pihak tuan telah menunjukkan accountability yang terbaik.

top