Little India Dapat Wajah Baru

KLANG 25 OKT : Little India atau lebih sinonim sebagai syurga membeli belah bagi masyarakat India tempatan dan luar bakal menarik lebih ramai pengunjung dengan pengenalan wajah baru melalui proses naiktaraf yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Proses menaiktaraf gedung membeli belah terkemuka di Jalan Tengku Kelana itu antaranya melibatkan pembinaan pintu gerbang yang menjadi simbolik kepada Little India selain pembinaan kolam bawah tanah di kawasan berhampiran bagi mengelakkan masalah banjir.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia bertujuan menarik lebih ramai pengunjung khususnya pelancong luar negara bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Selangor.

Katanya, projek yang bakal dibangunkan itu menelan kos kira-kira RM3.1 juta ringgit melalui sumbangan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPENS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Saya sangat gembira kerana rakyat Selangor dan penduduk kawasan lain mengadakan upacara besar-besaran bagi menyambut Deepavali. Ia memberi ransangan kepada saya dan wakil kerajaan negeri untuk bekerja keras demi pembangunan Selangor.

Kita (kerajaan negeri) akan menjadikan Klang sebagai bandaraya yang berkembang pesat di samping rakyatnya dapat merasai kemajuan," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian selepas melancarkan projek pembinaan pintu gerbang Little India di samping turut mengadakan lawatan di setiap gedung membeli belah untuk bermesra dengan rakyat di kawasan itu petang semalam.

Program itu turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, barisan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Selangor serta Ahli-Ahli Majlis.

Program yang mendapat kerjasama syarikat telekomunikasi Digi dan MPK ini dihadiri lebih 3,000 pengunjung yang rata-ratanya membanjiri kawasan itu untuk beramah mesra bersama Menteri Besar.

Dalam pada itu, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam ucapannya menegaskan, Little India Klang adalah satu-satunya Little India sebenar yang wujud di Malaysia dengan menekankan nilai-nilai tradisi masyarakat India.

Menurutnya, pembinaan pintu gerbang yang bakal siap menjelang hujung tahun ini bakal meningkatkan populariti Little India selain mengangkat kawasan itu setaraf dengan kawasan membeli belah di ibu kota.

"Kita mahu bandaraya Klang kekal berish, cantik dan menarik lebih ramai orang terutamanya pelancong untuk datang ke daerah ini," jelasnya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top