Isu Air : 80 NGO Sokong Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 24 OKT : Kira-kira 80 Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka Solidariti Hijau daripada seluruh negara menyerahkan memorandum sokongan terhadap Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu air.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil NGO, Zulkefly Mohamad Omar kepada Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Menurut Zulkefly, kandungan memorandum itu menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang meringankan bebanan rakyat.

“Usaha Kerajaan Negeri ini perlu dialu-alukan dan dijadikan tanda aras dalam memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Ujar beliau, air adalah hak rakyat yang perlu dipertahankan dengan tidak boleh dikomersilkan yang hanya berasaskan keuntungan.

Katanya, sumber air perlu dilindungi daripada pencemaran alam akibat aktiviti seperti pembalakan yang berleluasa yang akan mencemarkan sumber air yang boleh mengancam kesihatan hidupan.

“Kita menggesa agar penjagaaan sumber air ini juga turut dibantu oleh Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat seharusnya juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri dan memberikan kerjasama yang akan memudahkan rakyat dengan tidak isu air ini tidak dipolitikkan,” katanya.

Sementara itu Abdul Khalid berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi NGO-NGO itu yang prihatin terhadap isu air agar dapat ditangani dengan cara terbaik oleh Kerajaan Negeri.

“Isu air ini dilihat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini dan juga Kerajaan Pusat dengan tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita mesti tidak menjadikan air itu alat untuk perniagaan, dan kini Kerajaan Negeri sedang membetulkan usaha itu,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top