Kerajaan Negeri Selangor menyelar tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN)  Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berhubung dengan isu pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

Kita berpendapat  cara beliau mengendalikan isu pertukaran tersebut jelas  membelakangi pentadbiran negeri yang diketuai oleh Menteri Besar dan ahli-ahli  EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Media tempatan melaporkan bahawa kononnya persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tanpa pengetahuan pihak Kerajaan Negeri.

Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah salah seorang ‘ex- officio’ (penjawat awam yang dilantik atas kapasiti jawatan beliau) dan bukannya diberikan ‘kuasa’ bagi membuat keputusan bagi pihak ‘Pihak Berkuasa Negeri’.
     
Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Kita ingin tegaskan  bahawa arahan JPA bertarikh 27 September 2012 untuk pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah jelas bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana Kerajaan Negeri diberikan  ‘kuasa mutlak’ melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.

Jadi tidak berbangkit isu KSN telah mengenalpasti pengganti kepada Datuk Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah dibawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri.  

Sebagai seorang penjawat awam, Datuk Dr. Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai KSN pada 24 Jun 2012 yang lalu seharusnya mempunyai rasa hormat (courtesy) untuk mengadakan lawatan kunjung hormat untuk bertemu Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang itu harus akur kepada kerajaan sediaada “Government of The Day” dan bukannya sekadar mengambil arahan dari Kerajaan Presekutuan sahaja sebaliknya mengambil sikap memusuhi Kerajaan Negeri dengan mengambil tindakan-tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi. 

Kita juga akan berbincang dengan  Datuk Khusrin dalam mesyuarat EXCO terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu berbangkit berkaitan  pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut kerana Kerajaan Negeri  hanya mengetahuinya dari laporan media baru-baru ini.

YB Dr. Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
Tarikh : 04 Oktober, 2012
    

0 comments:

top