PETALING JAYA, 17 FEB - Selangor terus maju dan berjaya mengurangkan karenah birokrasi serta korupsi sejak berada di bawah pimpinan Pakatan Rakyat dengan mencipta lebih banyak peluang perniagaan yang terbuka luas kepada semua peniaga tempatan mahupun asing.
 
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, konsep pelaburan mesra yang diamalkan kerajaan Selangor dalam sektor perniagaan dilihat memberi kesan positif, malah berjaya menarik lebih ramai pelabur saban tahun.

"Selangor sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua ahli perniagaan termasuk peniaga asing dan tempatan. Selangor adalah tempat terbaik untuk semua peniaga menjalankan perniagaan.

Kerajaan negeri juga sedang dalam usaha membangunkan dan memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan termasuk pelancongan dan kesihatan yang boleh diceburi oleh semua golongan perniagaan," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menghadiri majlis makan malam bersama Global India SMI/SME Forum and Networking Summit Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini malam tadi.

Majlis makan malam itu adalah anjuran Persatuan Perdagangan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) bagi meraikan penglibatan mereka sebagai pelabur selama lapan dekad dalam sektor pembangunan ekonomi di Malaysia.

Tambah Abdul Khalid, keadaan ekonomi yang berkembang pesat dan stabil di Selangor turut dipengaruhi oleh sokongan padu perniagaan SMI dan SME.

Ujarnya, perniagaan kecil dan sederhana juga adalah antara penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara atau negeri.

"Justeru itu, syarikat-syarikat seperti KLSICCI perlu merangka sebuah program yang akan membuka pasaran luas dalam usaha untuk bersaing bersama pelabur lain terutama pelabur antarabangsa," jelasnya.



Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top