Persekutuan Perlu Contohi Kerajaan PR Berbelanja

SHAH ALAM 3 OGOS: Pakatan Rakyat mencadangkan agar kerajaan persekutuan mencontohi pendekatan ekonomi yang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya berhasrat mengurangkan defisit belanjawan negara.

Mengambil contoh negeri Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, negeri itu tidak mencatatkan sebarang defisit berikutan jumlah hutang yang berjaya dikurangkan selain membelanjakan keuntungan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat kerajaan negeri.

Abdul Khalid yang ditemui pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah mula mencontohi corak perbelanjaan yang digunapakai negeri Selangor.

Namun beliau menasihati agar perbelanjaan diuruskan dengan cara lebih berhemah selain mengurangkan penggunaan wang pembayar cukai.

Beliau mengulangi kejayaan negeri itu memungut semula keuntungan daripada operasi pasir yang mencatatkan keuntungan sehingga RM40 juta setahun.

Manakala 25 peratus hasil tersebut menurut Abdul Khalid  diperuntukkan pada satu program warga emas dengan harapan dapat memberi kelebihan dalam bentuk kewangan kepada golongan itu.

“Saya lihat kerajaan persekutuan telah mula meniru sesuatu perkara yang sama. Tapi saya mahu minta kerajaan pusat jangan gunakan duit daripada pembayar cukai. Cari syarikat-syarikat yang untung dan buat program ini.

“Jadi tidak perlu membebankan lagi sebab belanjawan kerajaan persekutuan sangat tinggi defisitnya,” katanya selepas menghadiri rundingan ekonomi Buku Jingga bersama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Abdul Khalid yang juga ADUN Ijok mengungkap kejayaan negeri mencatat lebihan RM200 juta setahun berdasarkan tata kelola yang baik selain menguruskan perbelanjaan mengikut keperluan.

Ini termasuk dana-dana yang dikutip daripada hutang tidak berbayar pemerintahan Umno-Barisan Nasional (B) terdahulu untuk disalurkan kepada skim-skim yang diperkenalkan.

Katanya perkara tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat merasai sebahagian daripada keuntungan hasil negeri dalam bentuk fizikal.

Kerajaan Najib sebelum ini mensasarkan hasrat mengurankan defisit belanjawan negara kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015.

Namun kontradik dengan hasrat itu Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dalam kenyataannya sebelum ini membayangkan rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih daripada harga kos setiap jenis makanan jika dibandingkan dengan tahun 2005 pada akhir tahun ini.

Unjuran tersebut dicongak berdasarkan lonjakan kadar harga makanan bagi empat bulan pertama tahun 2011 iaitu 4.9 peratus.

Sedangkan menurut beliau purata kenaikan upah negara hanya mencecah 2.6 peratus dari tahun 2001 hingga 2010.

Buat julung kalinya Pakatan Rakyat akan membentangkan cadangan Belanjawan 2012 pada Oktober nanti untuk memberi ruang kepada rakyat membandingkannya dengan pendekatan kerajaan Najib Razak.


Sumber: SelangorKini

0 comments:

top