Kuala Selangor, 6 Ogos 2011 - Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbang RM1,532,700 bagi menampung yuran kemasukan 234 orang pelajar-pelajar baru ke Kolej Inpens. Sumbangan ini merupakan pembiayaan sepenuhnya untuk yuran akademik dan hostel termasuk wang saku.

Sumbangan ini telah diberi kepada 101 pelajar Melayu, 100 orang pelajar India dan 33 orang pelajar Cina.

Satu majlis penyampaian surat tawaran kemasukan telah diadakan di kampus kolej Inpens di Kuala Selangor yang telah disempurnakan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar EXCO Kerajaan Negeri Selangor

Majlis turut dihadiri oleh Hajjah Noraini Bte Roslan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor serta pengurusan dan tenaga pengajar Kolej Inpens.
 

Majlis telah dilaksanakan dengan jayanya oleh pegawai-pegawai dari seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi (Upen) Negeri Selangor.

Pelajar-pelajar ini akan mengikuti kursus-kursus vokasional dalam bidang automotif mekanik, pendawaian letrik, penghawa dingin, komputer,  kecantikan dan dandanan rambut  untuk tempoh 1 hingga 3 tahun.

Dalam ucapan beliau, Dr. Xavier menegaskan bahawa dengan memberikan peluang belajar dalam bidang vokasional pelajar-pelajar ini akan mempunyai kemahiran khas bagi memudahkan mereka untuk mendapat peluang pekerjaan apabila telah menamatkan kursus yang diambil.

Ujar beliau lagi majikan-majikan sekarang ini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran vokasional dan ini dapat menjaminkan pendapatan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar.

Kata Dr. Xavier lagi dengan mendapat pekerjaan yang stabil dengan pendapatan yang lebih baik akan dapat membantu taraf kewangan keluarga yang kebanyakannya dari anak-anak pekerja ladang dan  berpendapatan rendah. Dengan ini objektif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan taraf kemiskinan rakyat Selangor akan dicapai.


0 comments:

top