Program Empat Hari Promosi Pelancongan Selangor

Majalah Gaya Travel dengan kerjasama dan sokongan kerajaan negeri Selangor dan Tourism Selangor menganjurkan Program Selangor Shines Fam Tour 2010 (SSFT 2010) bermula dari 25hb Jun sehingga 29hb Jun 2010.

Program ini merupakan lanjutan daripada program Selangor Discovery Fam Tour yang telah diadakan pada 17-20 Julai 2009.  Hasil daripada kejayaan program tersebut, pihak Gaya Travel, Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Selangor bertekad untuk mengadakan sekali lagi program seumpama ini  bagi mempromosi dan menaikkan lagi taraf pelancongan di negeri Selangor.

Selain itu, program ini  bertujuan untuk mengemaskini produk-produk pelancongan yang sedia ada seperti Homestay Haji Dorani yang terkenal di kalangan penggemar program homestay dari luar negara. SSFT 2010 juga dijadikan landasan untuk memperkenal produk-produk pelancongan terkini yang terdapat di negeri Selangor seperti pelancongan pendidikan contohnya Taman Sains yang terdapat di UPM, serta wahana pelancongan kesihatan seperti Wijaya International Medical Centre (Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya) yang merupakan satu-satunya institusi perubatan yang menyediakan kemudahan cyberknife di rantau Asia Pasifik.

Antara produk-produk pelancongan lain yang akan dikunjung sempena program ini adalah SACC Convention Centre (Pusat Konvensyen SACC) yang menyediakan kemudahan sektor MICE bermaksud meetings, incentives, conferences & exhibitions (mesyuarat, insentif, konferensi dan pameran), termasuklah resort-resort dan hotel-hotel terkemuka di Selangor.

Penyertaan peserta Selangor Shines Fam Tour 2010 tidak terhad kepada media dan penggiat agensi pelancongan tempatan sahaja, malahan mendapat sokongan daripada media antarabangsa dari Filipina, Jepun, Korea, Indonesia dan Singapura, termasuk dua agensi pelancongan dari Indonesia.

Dengan adanya aktiviti-aktiviti dan promosi yang dianjurkan oleh pihak majalah Gaya Travel dan media yang terlibat dalam program ini, Selangor berharap akan dapat menarik lebih ramai pelancong lagi. Program ini wajar dilihat sebagai satu usaha positif majalah Gaya Travel dengan kerjasama Tourism Selangor berserta sokongan daripada kerajaan negeri dalam merancakkan lagi industri pelancongan di Malaysia.

Oleh itu, para penggiat pelancongan dari Selangor khususnya dan dari Malaysia amnya digalakkan membantu menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti pelancongan bagi memupuk budaya melancong dalam negara di kalangan sektor korporat dan swasta, termasuk segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top