SHAH ALAM 28 Apr - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menawarkan untuk menyediakan perkhidmatan guaman kepada keluarga remaja yang mati ditembak polis, Aminulrashid Amzah.

Sambil menyampaikan takziah beliau, Khalid juga berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bersedia membantu sekiranya keluarga mangsa memerlukan.

"Kita juga akan menyediakan khidmat peguam sekiranya keluarga mangsa mahukan demikian," katanya kepada sidang media selepas mengakhiri lawatan ke rumah mangsa dekat sini.

Khalid juga menyampaikan cek bantuan berjumlah RM10,000 kepada keluarga mangsa.


Beliau juga mengarahkan Exco berkenaan untuk bertemu Ketua Polis Negeri untuk berbincang mengenai tragedi ini dan mencari jalan agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

"Kita boleh belajar dari kejadian ini supaya pada masa akan datang dapat memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada orang awam berkeyakinan bahawa keselamatan mereka terjamin. Semuanya akan dilakukan dengan teliti," katanya lagi.

Khalid berkata beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai kejadian tersebut sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Beliau juga berharap agar siasatan dilakukan dengan telus dan pihak terbabit tidak diganggu semasa siasatan.
Aminulrasyid ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.

Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara berdaftar di bawah nombor BET 5023 bersama rakan sebayanya ketika kejadian. 

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

top