KUALA LUMPUR 10 DIS : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kepentingan pendidikan bagi meningkatkan kehidupan rakyat Selangor dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.
"Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan mereka kerana kita merasakan pendidikan adalah salah satu dari usaha kerajaan melepaskan masyarakat dari kongkongan kemiskinan. Oleh itu kita sangat berminat untuk meningkatkan pendidikan kepada semua rakyat," jelasnya.
Menurut beliau, dasar itulah yang mendorong pelbagai bantuan dan program dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan buku latihan kepada pelajar sekolah di Negeri Selangor bagi sesi persekolahan tahun hadapan.
Sekumpulan lebih 70 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga kurang berkemampuan bersama Khalid di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini menerima bantuan buku dan kewangan bagi sesi persekolahan akan datang.


