Press Release : PKNS issue 31 Oktober

KENYATAAN AKHBAR

31 OKTOBER 2008

Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan untuk perlantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Rabu lalu, telah mengesahkan keputusan Dato Menteri Besar Selangor untuk melanjutkan tarikh persaraan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Puan Low Siew Moi selama satu tahun. Dalam mesyuarat yang sama, ahli Lembaga Pengarah juga telah bersetuju supaya Puan Low melaksanakan urusan penanggungan kerja sebagai Pengurus Besar PKNS sehingga Pengurus Besar yang baharu dilantik.


Dalam mesyuarat tersebut, Lembaga Pengarah juga telah berbincang mengenai sambutan yang baik yang telah diterima dari Bumiputera professional di dalam dan di luar PKNS yang menyatakan hasrat mereka untuk memikul jawatan Pengurus Besar perbadanan tersebut. Atas sebab itu, pihak Lembaga Pengarah telah membuat keputusan untuk menubuhkan satu jawatankuasa pemilihan untuk meneliti semua permohonan dan seterusnya menyenaraipendekkan calon-calon terbaik untuk dibawa kepada Lembaga Pengarah dan Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS.


Jawatankuasa pemilihan tersebut akan dianggotai oleh Encik Zain Azhari, peguam kanan di syarikat guaman Zain & Co, Datuk Azlan Hashim seorang akauntan bertauliah dan dua ahli Lembaga Pengarah PKNS iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ramli Mahmud dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Mohd Ariff Ab Rahman.


Buat masa sekarang, Lembaga Pengarah PKNS sedang mempertimbangkan sebanyak 15 permohonan dikalangan Bumiputera professional yang kebanyakkannya mempunyai pengalaman atau kelayakan dalam bidang pembangunan perumahan dan hartanah.


Calon-calon yang telah disenarai-pendek akan dirujuk kepada satu lagi jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada ahli-ahli beberapa persatuan yang berkaitan dengan bidang pembangunan perumahan dan hartanah untuk semakan dan pengesahan kejayaan kerjaya mereka.


Proses menemuduga akan bermula Khamis depan dan PKNS dijangka akan mengumumkan keputusan dalam masa sebulan.


Sekretariat Akhbar

Pejabat YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor

0 comments:

top