Harga Air Di Selangor Kekal

SHAH ALAM,30 SEPT:  Tiada kenaikan tarif air di Selangor. Itu tegas Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)  untuk menaikkan tarif air seperti yang diumumkan  oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin .

Tegas Tan Sri Khalid, “SYABAS perlu mendapat kebenaran Kerajaan Selangor sebelum menaikkan tarif air, dan saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan kenaikan selagi rundingan penstrukturan semula industri air tidak selesai”.

Tuntutan SYABAS atas dakwaan kerugian akibat kegagalan menaikkan tarif air  tidak akan mengubah pendirian Kerajaan Negeri mengenai isu ini demi menjaga kepentingan 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri komited dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor dan dalam semua rundingan keutamaan adalah kepentingan pengguna, perkhidmatan air yang efisyen dengan harga yang berpatutan.
Pada Ahad, 26 September 2010, proses pengundian Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) bagi Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja telah berlangsung di Dewan Bukit Naga, Shah Alam, Selangor mulai jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang.

Setelah tamat pengundian, bagi tujuan menjamin kelancaran dan kesempurnaan pemilihan tersebut, pengawas pemilihan yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat (JPP) membuat keputusan bahawa proses pengiraan dan penjumlahan undi tidak dapat diteruskan di Dewan Bukit Naga, Shah Alam. Sebaliknya urusan-urusan tersebut diserahkan kepada tanggungjawab langsung JPP yang beribu pejabat di A-1-09 Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, Selangor.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat, menurut Fasal 18.15 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat, adalah bertanggungjawab bagi mengawal selia proses pengundian dan pemilihan untuk jawatan dalam parti di peringkat Cabang dan Pusat. Di bawah kuasa menurut peruntukan Fasal tersebut, JPP memutuskan untuk menyempurnakan proses pengiraan dan penjumlahan undi bagi pemilihan Cabang Kota Raja itu di dalam bangunan Ibu Pejabat Parti dalam tempoh seberapa segera yang mungkin.
KUALA LUMPUR, 27 Sept — Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melakar sejarah dengan mengadakan pemilihan langsung buat julung kali, mencatatkan satu lagi rekod — pengiraan undi salah satu cabang yang dilihat panas — Kota Raja di Selangor —  berlarutan sehingga pagi ini.

Maklumat yang diperoleh sekitar 7 pagi tadi menunjukkan undi masih dikira.

Ia seolah-olah menggambarkan berulangnya sejarah pengiraan undi kerusi sehingga membawa sehingga tengah hari keesokan hari di Lembah Klang sedekad lalu.

Pengiraan dijalankan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, bermula lewat malam tadi, selepas proses mengira undi di Bukit Naga lewat petang tadi berakhir dengan kekecohan dan tindakan rampas kertas undi dan peti undi.

Sebanyak 18 peti undi dibawa ke ibu pejabat PKR untuk dikira dengan kawalan polis.

Cabang Kota Raja menyaksikan ketuanya Dr A Xavier Jayakumar, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, berhadapan dengan saingan S Kottappan dan M Telaiamblam.

Dr Xavier Buat Laporan Polis Isu SMS

KLANG – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai memburukkan imej beliau dan ahli keluarganya.

Xavier berkata, laporan polis itu terpaksa dibuat berikutan SMS berkenaan disebarkan kepada orang ramai sejak tiga minggu lepas.

Menurutnya, antara kandungan SMS itu menuduh beliau mendapat kontrak daripada Kerajaan Negeri untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarganya yang lain.

“Tuduhan ini sangat serius, jika benar saya melakukan penyelewengan diminta individu yang menyebarkan SMS ini tampil ke hadapan dan membuat laporan polis terhadap saya.

“Saya sedia bekerjasama dan sanggup disiasat pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, semalam.

Xavier yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri memberitahu, antara kandungan SMS yang diterimanya turut menyebut beliau akan menganugerahkan pingat kepada rakan-rakanya jika menyokong beliau pada pemilihan PKR Cabang Kota Raja, Ahad ini.
PETALING JAYA 25 SEPT : Selaras dengan usahanya untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Kerajaan Negeri Selangor semalam mewartakan tanah seluas 1 ekar untuk didirikan lapan buah Tadika Rakyat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM62,500 untuk membina lapan buah Tadika Rakyat yang terdiri daripada empat buah kelas aliran Melayu dan empat buah kelas aliran Bahasa Inggeris.

" Saya difahamkan projek ini memerlukan RM150,000 untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan lain. Oleh itu saya mencadangkan YB Nik Nazmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dana Tadika Rakyat Kampung Lindungan untuk mencari tambahan," ujar Khalid pada acara pecah tanah yang diadakan di Jalan PJS 6, Desa Mentari, Kampung Lindungan.

Menurut Khalid, beberapa subjek utama akan diajar kepada murid-murid yang memasuki tadika ini iaitu subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Agama Islam dan Moral.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menggunakan sistem tender terbuka untuk pembinaan dan pengurusan tadika berkenaan.  
PETALING JAYA - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perlaksanaa kaedah pengundian secara langsung pada Pemilihan 2010 akan melahirkan pemimpin yang terbaik bagi parti.

Seterusnya pemimpin yang terpilih dalam pilihan raya parti pula akan lebih bertanggungjawab kepada ahli-ahli yang memilih mereka.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Anwar yakin ahli KEADILAN akan membuat keputusan yang bijaksana serta berhemah demi kebaikan kepada parti.

"Pemerkasaan ahli-ahli seiring dengan kuasa di tangan mereka. Kami yakin semua anggota parti akan menggunakan kuasa ini secara bijaksana dan berhemah.

"Amalan seperti ini sudah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi yang matang diseluruh dunia tetapi ia adalah pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

"Proses pemerkasaan bukan sahaja memberikan hak untuk mengundi tetapi juga untuk menyuarakan sokongan atau bangkangan," kata Anwar.
SHAH ALAM 24 SEPT - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah menuntut bayaran sebanyak RM308 juta dari Kerajaan Selangor didakwa sebagai “pampasan” kerana terhalang dari menaikkan tarif air di Selangor.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.

"SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Faekah bagaimanapun menegaskan Kerajaan Negeri tidak gentar dengan tuntutan Syabas, kerana tidak mahu rakyat Selangor menanggung harga air yang lebih tinggi dari kadar sepatutnya.
YB Dr. Xavier Jayakumar EXCO Negeri Selangor akan membuat laporan Polis di Balai Polis Daerah Klang, Jam : 10.00 Pagi, ESOK (Jumaat) 24/09/2010  bagi melaporkan tindakan seorang individu / atau kumpulan yang menghantar SMS kepada orang ramai memburuk-burukkan imej beliau dan ahli keluarga beliau yang dipercayai ada kaitan dengan proses  pemilihan Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja  yang akan diadakan pada 26/09/2010 yang akan datang.

YB Dr. Xavier adalah Ketua Cabang tersebut.

Kenyataan Media akan diadakan selepas laporan Polis dibuat.
top