Karpal Dikenang Dalam Himpunan Reformasi 2.0

Himpunan Reformasi 2.0 yang berlangsung di Pulau Pinang malam tadi menjadi acara memperingati mendiang Karpal Singh dan mereka yang berucap turut menyampaikan ucapan mengenang pemergian bekas pengerusi DAP itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Karpal bimbang hukuman penjara lima tahun dalam rayuan kes liwatnya.

Beliau yang juga merupakan ketua umum PKR berkata, isteri kepada pemimpin veteran DAP itu, Gurmit Kaur memberitahu Karpal sangat marah mengenai kes itu.

"Pemergiannya satu kehilangan peribadi kepada saya, (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga saya," katanya.

Anwar di depan ratusan yang berhimpun pada acara itu berkata, Karpal cuba menghubunginya pada petang Rabu.

"Beliau cuba menghubungi saya sebanyak empat kali pada 6.30 petang. Saya hubunginya semula dan Karpal memberitahu kita hanya ada 10 hari untuk hantar rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Katanya, jangan bimbang. Dia minta kepada saya untuk teruskan.

"Karpal berkata beliau akan membuat permohonan dan melakukan yang terbaik untuk memenangi kes ini," katanya.

Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantunya pada 2008 oleh Mahkamah Rayuan bulan lalu.

Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar pada Januari 2012.

Anwar membuat rayuan terhadap hukuman penjara. Sekiranya beliau gagal dalam rayuan, hukuman penjara akan berjalan dan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh juga akan diadakan.

Anwar berkata, hukuman penjara yang dikenakan kepadanya tidak akan menghentikan isu seperti kenaikan harga barang.

Katanya, Karpal bukan sahaja sekadar peguam tetapi dianggap sebagai ahli keluarganya sendiri.

Beliau berkata, Karpal tidak mengenakan sebarang bayaran bagi khidmat guaman yang diberikan.

"Ketika saya dalam perbicaraan, wang dikumpul untuk membayar Karpal tetapi beliau tidak mengambilnya. Beliau tidak mengambilnya kerana saya mengorbankan diri saya sendiri.

"Katanya, khidmat guaman bagi mempertahankan saya adalah sebagai sumbangan kecil. Itulah Karpal Singh," katanya.

Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kampar, Perak kira-kira 1 pagi semalam.

Beliau dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur untuk kes perbicaraan bunuh di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Karpal maut di tempat kejadian. Pembantunya, Michael Cornelius Selvam Vellu turut maut sementara anak Karpal, Ramkarpal dan pemandu terselamat.

Pada perhimpunan semalam, mereka yang hadir bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian peguam terhormat itu.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang turut memberi penghormatan ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; ahli exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara yang turut menyampaikan ucapan semalam ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang membangkitkan soal gerakan reformasi, sistem kehakiman, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa isu lain.

Beliau turut menggesa hadirin menyertai himpunan jalanan pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur bagi menentang GST dan kenaikan harga barang.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top