PRK Kajang: SPR Jangka Lebih 80% Keluar Mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka lebih 80% daripada 38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan keluar mengundi hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata jangkaan berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di DUN itu pada pilihan raya terdahulu.

Bercakap pada sidang media di Kajang semalam, Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini melebihi 88.4% yang dicatat semasa pilihan raya umum ke-13.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengundi agar datang awal dan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.

Rabu lalu, 8.39%  atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di DUN itu melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ditanya mengenai perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil itu termasuk tempoh berkempen berakhir jam 12 tengah malam tadi, Abdul Ghani berkata, SPR berpuas hati dan menyifatkan semuanya berjalan lancar.

Beliau bagaimanapun mengingatkan parti politik terlibat agar mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya semasa hari pengundian.

Beliau berkata, antara larangan ialah merayu atau meraih undi.

Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lalu.

Hari ini, pengundi di DUN Kajang akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional (BN) atau calon Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top