Kalaulah Sarawak Seperti Selangor - Jaytson

KUALA LUMPUR: “Kalaulah Sarawak seperti Selangor…,” kata Jaytson Lenjau Lian, yang membandingkan perbezaan ketara pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan negerinya yang lebih 50 tahun dikuasai Barisan Nasional (BN), lapor Roketkini.

Butir bicaranya jelas menggambarkan rasa marah dan kecewa, mengenangkan negerinya yang kaya dengan sumber asli, namun hanya dinikmati sekelompok kecil penguasa BN.

Jaytson adalah seorang daripada peserta lawatan sambil belajar empat hari tiga malam Pemimpin Tempatan Bintulu Belaga ke Selangor anjuran bersama NGO Borneo Care dan DAP Sarawak, bagi melihat kaedah pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

Katanya, pengertian sebenar Persekutuan Malaysia ketika ia mula ditubuhkan dulu adalah untuk semua negeri berkongsi kekayaan dan bersama-sama maju sebagai sebuah negara merdeka.

“Memanglah saya terpegun melihat Selangor. Kalaulah dapat Sarawak juga macam ini, hidup (sejahteralah) kita dalam Persekutuan Malaysia ini,” katanya selepas sesi lawatan ke Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam, semalam.

Menurutnya lagi, pentadbiran Selangor jauh lebih telus dan bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat, berbanding BN yang sehingga kini masih gagal memberi kemudahan asas kepada penduduk di Bumi Kenyalang.

“Tambahan pula, YB-YB kita di sini, kita boleh berjabat tangan, berbincang dengan dia. Di Sarawak, nak tengok pun tak dapat. Polis kata ‘jangan dekat, ini YB!’,” katanya lagi.

Program semalam dimulakan dengan lawatan ke Parlimen yang mana mereka diberi taklimat berhubung prosedur penggubalan undang-undang dan dasar oleh Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera dan Bukit Mertajam, Zairil Khir Johari dan Steven Sim Chee Keong.


Sumber: HarakahDaily

0 comments:

top