SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor hari ini menggesa Menteri Besar negeri itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan tentang isu penyerahan tugas pengurusan air kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dengan segera.

Ketuanya Azmizam Zaman Huri berkata, keputusan kerajaan negeri itu sehingga kini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan rakyat kerana kerajaan negeri menyerah kalah dengan mudah selepas berusaha selama lima tahun.

Tambahnya apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah tentang program air percuma dan saham air yang dijanjikan sebelum ini masih diteruskan atau sebaliknya.

AMK dalam pada itu juga menuntut agar diberikan penjelasan terhadap RM600 juta yang digunakan untuk program untuk air percuma sebelum ini selain jaminan tarif air kekal untuk jangka masa panjang.

"Adakah jaminan kerajaan negeri air dapat dikekalkan pada kadar yang rendah dapat diteruskan selepas pengambilalihan tersebut," tegasnya ketika menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Azman Abidin.

Khalid baru-baru ini mengumumkan memberi laluan projek Langat 2 dilaksanakan sekaligus menyerah kalah dalam perebutan mengambil alihan empat syarikat konsesi yang telah lima tahun berterusan.

Tegas Azmizam lagi, keputusan Khalid dilihat mengubah pendirian kerajaan negeri sebelum ini dengan menerima Seksyen 114 Akta Perkhidmatan industri Air 2006 daripada kerajaan Persekutuan yang berkuatkuasa 31 Disember tahun lalu.

Selain itu Azmizam juga mahu Khalid menetapkan tarikh untuk berjumpa dengan AMK negeri itu bagi menerangkan perkara itu sekaligus isu penutupan Pusat Giat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selayang.

"Kami juga memohon agar Tan Sri memberi penjelasan serta mengambil tindakan segera bagi menangani dan mengurus persepsi di kalangan rakyat khususnya anak muda dan pengundi Melayu," jelasnya.

Sumber: AntaraPos

0 comments:

top