SHAH ALAM, 26 NOV : Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menurunkan air tidak berhasil (NRW) kepada 20 peratus seperti termaktub dalam perjanjian konsesi dianggap sebagai ‘dosa’ kepada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kegagalan SYABAS bukan berpunca daripada kekurangan peruntukan, tetapi disebabkan kelemahan syarikat konsesi itu merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.
 
Beliau berkata, hanya 3,900 juta liter sehari (JLH) air yang sampai kepada pengguna berbanding keupayaan sebenar 4,832 JLH oleh 32 loji rawatan air.

“Kegagalan ini menyebabkan kita kekurangan air terawat dan kerajaan negeri berpedapat SYABAS dan syarikat induknya, Puncak Niaga tidak berupaya daripada segi pengurusan serta kekuatan modal untuk menyelesaikan perkara itu.

“Terdapat kebocoran NRW lebih 30 peratus sedangkan dalam perjanjian yang dimeterai antara kerajan negeri dan SYABAS pada 2011, syarikat konsesi itu berjanji untuk menurunkannya kepada 19.98 atau 20 peratus.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang, NRW bukan lagi pada kadar 30 peratus tetapi meningkat kepada 33 peratus,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, pengurusan air penting kerana membabitkan hak semua rakyat tanpa mengira pangkat atau fahaman politik terutama air adalah perkara utama dalam kehidupan seharian, bahkan SYABAS berjanji menurunkan NRW melalui peruntukan RM784 juta yang diberikan kerajaan negeri dan turut menerima dana tambahan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Beliau berkata, SYABAS juga mempunyai ‘kabel besar’ untuk mendapatkan pinjaman sejumlah RM500 juta tanpa faedah selama lima tahun daripada kerajaan pusat.

“Saya ingin nyatakan bahawa Selangor menghadapi masalah apabila penswastaan air tidak dapat diuruskan dengan cara yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan air oleh SYABAS. Kini, tugas negeri adalah menyelesaikan masalah penyusunan air dan saya akan bawa rakyat Selangor untuk menentang siapa yang tidak benarkan kita menguasai aset mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pembekuan perbelanjaan modal (CAPEX) SYABAS yang sepatutnya digunakan bagi mengganti 8,000 kilometer paip air, Abdul Khalid berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat konsesi itu didapati tidak berupaya untuk melaksanakannya.

Katanya, pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersedia memanggil semua ahli dewan daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan perkara itu.

“Perkara ini sudah dibincangkan sejak 2006 lagi dan diperakui kerajaan pusat bahawa SYABAS tiada keupayaan. UPEN bersedia memanggil ahli dewan bagi menerangkan perkara ini,” katanya.


Sumber: SelangorKini

0 comments:

top