Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail "direhatkan" ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat dua orang ejen agensi perisikan Amerika Syarikat  di Pejabat Peguam Negara.

Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan segera memandangkan terdapat banyak dakwaan negatif terhadap Abdul Gani.

"Dakwaan oleh Dr Mahathir bahawa Pejabat Peguam Negara mempunyai dua ejen Amerika adalah mengejutkan dan memerlukan tindakan serta merta daripada perdana menteri dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," kata Anwar dalam kenyataan di Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahkan menteri juga dibawa berbincang mengenainya.

Menurut sumber, Ahmad Zahid dikatakan turut dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Abdul Gani.

"Gani juga perlu memberi penjelasan terhadap  semua dakwaan ini termasuk yang mengaitkan beliau dengan kegiatan haram dan aktiviti konspirasi yang turut didakwa melibatkan pejabatnya," kata Anwar.

Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh Muhammad Shafee pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.

Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya dengan disertai bekas setiausaha politiknya, Matthias Chang.

Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Abdul Gani yang bermula daripada kes ‘mata lebam’ Anwar lagi.

Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia kepada Singapura dalam kes Pulau Batu Putih di Mahkamah Antarabangsa.

Abdul Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.

Ekoran pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain pada 7 Oktober membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya adalah dakwaan salah laku Abdul Gani dalam kes 'mata lebam' Anwar.

Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar kepada Najib.

Ia turut dihantar kepada Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa polis menyiasat Abdul Gani tanpa menunggu laporan polis dibuat.

Karpal berkata, pada masa lalu polis pernah mengambil inisiatif sendiri dengan memulakan siasatan selepas membaca laporan akhbar.

Menurut Karpal, polis mesti merekodkan kenyataan orang penting termasuk Abdul Gani, Dr Mahathir dan Ahmad Zahid bagi memahami kes ini.

“Saya harap tiada apa yang diselindungkan,” katanya.

Abdul Gani, 58, menyertai pejabat Peguam Negara pada 1980 dan dilantik sebagai Peguam Negara pada 2002.

Beliau pernah menerima kritikan hebat daripada pembangkang dan badan bukan kerajaan berhubung kegagalan kerajaan dalam kes di bawah seliaannya termasuk kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

top