KUALA LUMPUR 21 OKT : Peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan ekonomi negara bakal diraikan melalui peruntukan atau insentif khas yang menjadi salah satu agenda utama dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 yang dibentangkan hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setiap ibu bekerja bakal menerima peruntukan sebanyak RM1,200 setahun untuk membiayai caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Katanya, PR juga akan memperuntukkan RM3 bilion setahun bagi Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN) iaitu satu bentuk jaringan keselamatan sosial komprehensif bagi golongan isteri terutama suri rumah.

“Kerajaan PR akan menyumbang RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami dan skim ini boleh dikeluarkan apabila berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya dan pendapatan kekal,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan mengekalkan polisi bagi meningkatkan pimpinan wanita pada tahap sekurang-kurangnya 30 peratus, pada tahun 2017.

“Pimpinan wanita di Parlimen, pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam juga swasta akan menjadi tumpuan utama dalam belanjawan kali ini,” katanya.


Sumber: SelangorKu

0 comments:

top